KOTA KINABALU: Penyerang import Sabah FA, Enzi Hekima Starks Broussard muncul wira pasukan apabila meledak dua gol untuk membantu skuad itu menewaskan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh 2-1 dalam aksi Kumpulan A Peringkat Awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 di Stadium Likas, malam tadi.
Pemain kelahiran Amerika Syarikat itu mempamerkan ketajaman penyudah apabila menjaringkan gol pada minit ke-41 dan minit ke-79 bagi memastikan Sabah meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan kumpulan.
Aksi cemerlang Enzi Hekima sekali lagi membuktikan peranannya sebagai tonggak penting jentera serangan Sabah yang kini terus berada dalam landasan terbaik untuk memburu slot ke peringkat seterusnya.
Gol pembukaan Sabah hadir menjelang tamat separuh masa pertama apabila Enzi Hekima bijak memanfaatkan peluang yang terhidang untuk meletakkan pasukannya di hadapan selepas kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sejak wisel permulaan.
Memasuki babak kedua, Rajshahi Stars tampil lebih agresif dalam usaha memburu gol penyamaan, namun benteng pertahanan Sabah berjaya menyerap tekanan yang diberikan pasukan pelawat itu.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan kelebihan tipis satu gol, Enzi Hekima sekali lagi mencuri tumpuan pada minit ke-79 apabila berjaya melepasi benteng pertahanan lawan sebelum berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Rajshahi Stars, Rupna Chakma.
Dengan penuh tenang, beliau meleretkan bola ke dalam gawang untuk gol kedua peribadi dan pasukannya sekali gus memberikan kelegaan kepada penyokong tuan rumah.
Rajshahi Stars bagaimanapun tidak mengalah dan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan pemain gantian, Most Sultana pada minit ke-86, namun gol itu gagal menghalang Sabah daripada mencatat kemenangan berharga.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sabah terus mengekalkan rekod kemenangan sempurna selepas sebelum ini membelasah Rovers FC dari Guam 13-0 dalam perlawanan pembukaan kumpulan.
Setakat ini, Sabah telah mengumpul 15 jaringan dengan hanya satu gol dibolosi, sekali gus membuktikan kekuatan skuad kendalian mereka di kedua-dua bahagian serangan dan pertahanan.
Prestasi cemerlang Enzi Hekima juga memberikan petanda positif menjelang pertemuan paling penting menentang East Bengal FC dari India pada Ahad ini yang akan menentukan juara Kumpulan A.
East Bengal ketika ini mendahului kumpulan selepas mencatat kemenangan besar 12-0 ke atas Rovers FC dan memiliki kelebihan satu jaringan berbanding Sabah.- SABAH MEDIA



