HomeIsu tempatanMaritim Malaysia periksa feri laluan Karakit-Kudat

Maritim Malaysia periksa feri laluan Karakit-Kudat

Read Time:1 Minute, 31 Second

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah feri yang beroperasi di laluan Karakit-Kudat, semalam, susulan maklumat yang tular di media sosial berkaitan aspek keselamatan dan keselesaan penumpang.

Pemeriksaan itu dijalankan bagi memastikan pengoperasian feri berkenaan mematuhi peraturan ditetapkan, selain menjamin tahap keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesalahan atau pelanggaran peraturan dikesan terhadap feri terbabit.

Pemeriksaan turut mendapati jumlah penumpang ketika pemeriksaan dijalankan berada dalam had yang dibenarkan dan tidak melebihi kapasiti ditetapkan.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, berkata pihaknya mengambil serius setiap maklumat yang diterima, terutama yang melibatkan keselamatan penumpang dan pengoperasian vesel di perairan Kudat.

Katanya, pemeriksaan yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa bagi memastikan pengusaha pengangkutan laut sentiasa mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan hari ini mendapati tiada sebarang kesalahan atau pelanggaran peraturan dilakukan oleh pihak pengusaha feri.

“Jumlah penumpang juga didapati berada dalam kapasiti yang dibenarkan dan operasi feri berjalan dalam keadaan terkawal ketika pemeriksaan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Hasbullah berkata, Maritim Malaysia Zon Kudat akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa terhadap pengusaha pengangkutan laut bagi memastikan aspek keselamatan serta pematuhan peraturan sentiasa diberi keutamaan.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa mengambil serius setiap aduan dan maklumat daripada orang awam, khususnya perkara yang boleh menjejaskan keselamatan penumpang atau kelancaran operasi vesel di perairan Kudat.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia Zon Kudat menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung isu yang tular di media sosial.

Orang awam juga disaran menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan maritim atau aktiviti mencurigakan di laut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sebarang kecemasan boleh dilaporkan menerusi talian 999, manakala maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Tujuh projek pemindahan ilmu UMS bantu komuniti Kampung Keramuak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular