SHAH ALAM: Kontinjen Para SUKMA Sabah terus mencuri tumpuan apabila meraih 19 pingat emas hari ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu di persada carta pungutan pingat Para SUKMA 2026 di Selangor.
Kutipan itu menyaksikan Sabah kini mengumpul 25 pingat emas keseluruhan setakat jam 7 malam hasil kecemerlangan atlet dalam beberapa acara utama termasuk para olahraga, para renang dan para tenpin boling.

Dalam para olahraga, Sabah mendominasi beberapa disiplin menerusi kejayaan Mukhriz Ameer Izzudin Abdul Rauf yang menjuarai acara 400 meter T47 lelaki dengan catatan 53.22 saat.
Turut menyumbang emas ialah Ivan Jovic Suan dalam 400m T44 lelaki (58.57s), Renodrry Remey dalam 400m T20 lelaki (49.48s) dan Nurul Sahada Hawani Abdullah dalam 400m T20 wanita (1:02.54).
Kejayaan Sabah dalam olahraga turut disumbangkan Elvsius John dalam lempar cakera F56/F57 lelaki dengan catatan 33.56 meter, Jacklon Ganding dalam lompat jauh T37 lelaki (5.34m), Paijol Benhar dalam lompat jauh T46/T47 lelaki (5.90m) dan Eljoe Gotuoh dalam lompat kijang T20 lelaki (13.95m).
Sementara itu, Doriah Paulus menyumbang emas dalam acara merejam lembing F44/F64 wanita dengan catatan 8.92m, diikuti Hazmi Bistani dalam merejam lembing F12 lelaki (30.24m), Connie Zeno dalam lontar peluru F40 wanita (4.18m) dan Bartholomew Marius dalam lempar cakera F33 lelaki (15.61m).
Dalam acara para renang pula, Ethan Khoo Yin Jun menjuarai 100m kuak lentang S14 lelaki dengan catatan 1:04.01, selain mencipta rekod kejohanan.

Tiga lagi emas disumbangkan Suriyan Shah Malik dalam 100m kuak dada SB11 lelaki (1:46.41), Abd Halim Mohammad dalam 100m kuak dada SB8 lelaki (1:15.79) dan Wahyu Eqwal Nazrey dalam 50m gaya bebas S4/S5 lelaki (41.84s).
Bagi para tenpin boling, Sabah menambah tiga lagi pingat emas menerusi Muhammad Haiqal Azani Azman dalam perseorangan TPB2 (campuran/terbuka), Muhammad Azri Azman dalam perseorangan TPB3 lelaki dan Azuan Amirhassan dalam perseorangan TPB1 (campuran/terbuka).

Pencapaian itu membuktikan kekuatan kontinjen Sabah dalam beberapa cabang sukan, selain memperlihatkan komitmen tinggi atlet negeri itu untuk terus mengekalkan momentum sepanjang temasya.




