HomeUtamaAnak Sabah wakili Malaysia ke program kepimpinan IATSS Forum di Jepun

Anak Sabah wakili Malaysia ke program kepimpinan IATSS Forum di Jepun

Read Time:3 Minute, 37 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Anak jati Sabah, Razman Durhan, 27, mencipta pengalaman membanggakan apabila menjadi satu-satunya peserta dari Sabah yang mewakili Malaysia dalam program kepimpinan IATSS Forum di Jepun, Mei lalu.

Razman

Pegawai Pelaburan dan Inspektorat Projek Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) itu menyertai program berkenaan selama lapan minggu bersama tiga lagi wakil Malaysia.

Program IATSS Forum yang dianjurkan International Association of Traffic and Safety Sciences (IATSS) itu menghimpunkan golongan profesional muda dari 10 negara Asia dengan matlamat melahirkan pemimpin masa depan yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan rantau masing-masing.

Razman yang berasal dari Kinabatangan berkata, peluang menyertai program itu bermula selepas beliau mengisi borang permohonan secara dalam talian sebelum melalui proses saringan dan temu duga bersama Jawatankuasa Kebangsaan IATSS Forum Malaysia.

“Alhamdulillah, saya antara calon yang terpilih mengikuti program ini di Jepun. Pengalaman selama lapan minggu banyak membuka perspektif saya mengenai kepimpinan, pembangunan dan cara sesebuah negara menangani cabaran,” katanya ketika ditemui Sabah Media pada Rabu.

Menurutnya, antara pengalaman paling bermakna ialah melihat sendiri tahap kesiapsiagaan Jepun dalam menghadapi bencana alam, khususnya gempa bumi dan tsunami.

Beliau turut mengalami sendiri gempa bumi ketika berada di Jepun yang dilaporkan berukuran 6.9 pada skala Richter.

“Sebagai orang yang pertama kali mengalami gempa bumi, memang agak takut. Tetapi masyarakat di sana kelihatan begitu tenang kerana mereka sudah dididik dan dilatih untuk berdepan situasi seperti itu,” katanya.

Razman berkata, pendidikan kesiapsiagaan bencana yang diterapkan sejak di bangku sekolah memberi gambaran kepadanya mengenai kepentingan membentuk masyarakat yang sentiasa bersedia menghadapi bencana.

Katanya, penggunaan teknologi sistem amaran awal turut menarik perhatiannya apabila makluman kecemasan dapat disampaikan terus kepada peranti orang ramai tanpa memerlukan aplikasi khusus.

“Apabila gempa berlaku, kita menerima notifikasi terus pada peranti. Sistem sebegini menunjukkan bagaimana teknologi dan kesiapsiagaan masyarakat digabungkan bagi mengurangkan risiko,” katanya.

Menurut Razman, pengalaman itu memberi gambaran bahawa Sabah juga boleh terus memperkukuh sistem sedia ada dengan memanfaatkan teknologi serta meningkatkan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat.

“Perbezaannya memang ketara, tetapi ia sesuatu yang boleh kita pelajari. Kita perlu melihat apa yang sesuai untuk diaplikasikan di Sabah dan bagaimana kita boleh terus mengejar kemajuan teknologi seperti yang digunakan di Jepun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perkara paling penting yang dibawa pulang bukan hanya berkaitan teknologi, sebaliknya nilai kepimpinan, konsensus serta hubungan rapat antara kerajaan dengan masyarakat.

Razman berkata, pendekatan berasaskan bukti dan data yang sahih perlu diberi perhatian dalam merangka dasar supaya setiap keputusan benar-benar bersesuaian dengan keperluan masyarakat.

“Setiap perancangan perlu berasaskan bukti dan data yang sahih. Pada masa sama, kita perlu membina konsensus dengan komuniti supaya rakyat memahami mengapa sesuatu dasar itu dilaksanakan,” katanya.

Sebagai pegawai Ko-Nelayan, beliau melihat pengalaman itu amat relevan dalam usahanya membantu meningkatkan taraf ekonomi komuniti nelayan di Sabah.

Katanya, antara tanggungjawabnya ialah memastikan projek dan pelaburan yang dibawa masuk mampu memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan pendapatan serta memudahkan urusan nelayan.

“Kita mahu projek yang dibawa masuk benar-benar membantu meningkatkan pendapatan nelayan dan memudahkan urusan mereka. Itu antara sumbangan yang boleh saya lakukan melalui bidang yang saya ceburi,” katanya.

Dalam pada itu, Razman percaya generasi muda perlu mula mempersiapkan diri sebagai pemimpin masa depan.

Katanya, penyertaan dalam IATSS Forum turut memberinya peluang membina jaringan dengan peserta dari pelbagai negara serta memahami perspektif berbeza mengenai kepimpinan, pembangunan dan isu masyarakat.

“Kita berada dalam satu fasa di mana generasi hari ini perlu bersedia untuk memimpin pada masa akan datang. Kita tidak tahu siapa yang akan menjadi pemimpin seterusnya.

“Perubahan sepatutnya bermula daripada diri sendiri. Kita perlu membangunkan diri untuk menjadi pemimpin yang baik sebelum mampu memberi manfaat kepada orang di sekeliling,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai anak muda Sabah merebut peluang menyertai IATSS Forum pada tahun depan.

“Saya mengalu-alukan rakan-rakan dari Sabah untuk tampil dan terlibat dalam program IATSS Forum. Ini peluang yang sangat baik untuk kita keluar daripada zon selesa, membina keyakinan dan membawa perspektif Sabah ke peringkat antarabangsa.

“Jangan fikir tentang diri sendiri sahaja. Kita perlu mula cakna terhadap kepimpinan, masyarakat dan kepentingan negeri Sabah,” katanya.

Untuk rekod, IATSS Forum merupakan program pembangunan kepimpinan antarabangsa yang memberi penekanan kepada pembelajaran bersama, pembangunan kemahiran, kajian lapangan dan pemahaman terhadap isu sosial serta pembangunan mampan.

Permohonan bagi program IATSS Forum 2027 kini dibuka sehingga 30 September 2026, dengan dua sesi lapan minggu masing-masing dijadualkan pada Mei hingga Julai dan September hingga November 2027.

RELATED ARTICLES
Utama

Pemulihan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu perlu ikut kaedah pemuliharaan warisan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular