HomeSukanLiga Super : Sabah FC tumbang lagi di Likas, DPMM FC bawa...

Liga Super : Sabah FC tumbang lagi di Likas, DPMM FC bawa pulang tiga mata

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC sekali lagi gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila ditundukkan DPMM FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Kekalahan itu menyaksikan Sabah mengalami kekalahan kedua di gelanggang sendiri pada awal saingan Liga Super musim ini, selepas sebelum ini tewas 0-2 kepada Kuching City FC pada 5 September lalu.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Sabah dikejutkan dengan jaringan pembukaan DPMM pada minit ke-13 menerusi pemain pertahanannya, Ebenezer Abban, yang menanduk masuk bola hasil sepakan sudut untuk meletakkan pasukan dari Brunei Darussalam itu di depan 1-0.

Sabah bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi penyerang Gonzalo Di Renzo yang menyudahkan hantaran untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan sehingga tamat babak pertama, namun tiada tambahan jaringan dihasilkan.

Memasuki separuh masa kedua, DPMM tampil lebih agresif dan terus memberi tekanan kepada pertahanan tuan rumah dalam usaha kembali berada di depan.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-65 apabila penyerang Jordan David Murray melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim, sekali gus memberikan DPMM kelebihan 2-1.

Sabah mempunyai kira-kira 25 minit untuk mencari gol penyamaan, namun beberapa percubaan yang dilakukan gagal menghasilkan jaringan.

Tuan rumah berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi beberapa gerakan serangan pada minit ke-70, ke-76 dan ke-82, namun percubaan mereka sama ada tersasar atau berjaya dinafikan penjaga gol DPMM, Samuel Jacob Somerville.

Sabah terus berusaha sehingga minit-minit akhir permainan, tetapi DPMM kekal bertahan untuk memastikan kemenangan 2-1 menjadi milik mereka.

Keputusan itu menyaksikan Sabah sekali lagi terpaksa menelan kekecewaan di Stadium Likas, manakala DPMM membawa pulang tiga mata berharga dalam aksi Liga Super malam ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

18 rekod kebangsaan Para SUKMA diperbaharui atlet Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular