MENUMBOK: Persatuan Penambang Bot Laju Menumbok (PPBLM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas sumbangan yang disalurkan kepada ahli persatuan yang terjejas ekoran penularan COVID-19.
Pengerusi PPBLM Mohamad Sait berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, pengusaha bot terlibat sudah mula terkesan namun masih dibenarkan beroperasi meskipun tidak sepenuhnya.
“Namun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, PKP 2.0 dan PKP 3.0 dilaksanakan, kami sudah mula terkesan teruk apabila rata-rata pengusaha tidak dapat beroperasi menyebabkan sumber pendapatan kami terputus.
“Syukur, kerajaan negeri prihatin dimana beberapa agensi terlibat termasuk seorang pengusaha acara tampil menghulurkan bantuan sumbangan kepada 130 pekerja terlibat,”katanya.
Majlis penyerahan itu disaksikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd.Arifin Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu Datuk Limus Jury ,Pengarah YADIM Sabah Samin Ongki, Pengurus Besar Perbananan Baitulmal Negeri Sabah Salman Nurilah Setiausaha MUIS Ramlan Awang Ali dan Pegawai Daerah Kuala Penyu Sebastian Ingkim.
Di majlis tersebut Perbananan Baitulmal Negeri Sabah menyumbang sebanyak RM13,000 Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam sabah RM5,000 selain sumbangan bakul makanan dari Yayasan Dakwah Malaysia Cawangan Sabah (YADIM) dan juga seorang pengusaha acara dari SR Events Production Sharom Abd. Ghaffar yang turut menyumbangkan baucer untuk pembelian barangan.
Mohamad berkata dengan adanya sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringaknan beban ahli persatuan dan keluarga mereka yang mana kebergantungan mereka mencari sumber pendapatan harian hanya bergantung sepenuhnya kepada aktiviti tersebut.
Beliau juga turut berharap agar bantuan “One Off” dibawah Bantuan Sabah Prihatin 3.0 sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini agar mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan tersebut.
“Penularan pandemik virus COVID-19 tidak akan secepat itu berakhir apa lagi ketika ini Labuan terjejas teruk dengan penularan tersebut menyebabkan bot kami tidak dapat beroperasi ke sana” katanya.
Bot Laju merupakan perhubungan laut yang utama digunakan penduduk sekitar untuk ke Labuan melalui Menumbok namun terpaksa dihentikan berikutan pelaksanaan PKP.