KOTA KINABALU : Semua peserta khususnya atlet yang bertanding dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan-Sukan Daerah (MSSD) Kota Kinabalu diingatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang penganjuran dilaksanakan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, ini bagi memastikan tidak ada sebarang insiden penularan COVID-19 dan seterusnya membentuk kluster.
“Saya berharap agar semua peserta dapat memberi pengesahan tahap kesihatan kendiri COVID-19 yang disahkan oleh ibu bapa dan ianya adalah wajib di isi oleh semua setiap atlet yang bertanding.
“Perlu juga diingat dalam kita ghairah mengejar kemenangan, kita jangan lupa keselamatan diri serta semangat kesukanan menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga MSSD Kota Kinabalu 2022 kali ke-54 di Stadium Likas di sini semalam.
Yakub berkata, pandemik COVID-19 yang melanda negara dua tahun lalu memberi banyak pengajaran kepada rakyat termasuk melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). kehilangan nyawa dan lain-lain insiden.
“Saya berharap semua guru, jurulatih dan atlet akan sedaya upaya memastikan segala prosedur standard operasi (SOP) dan peraturan yang ditetapkan akan dipatuhi dan dihormati,” katanya.
Dalam pada itu, Yakub berkata, sejak pelaksanaan Hari Sukan Negara disambut bermula pada tahun 2015 telah meletakkan status aktiviti sukan dan riadah sebagai sebuah agenda nasional dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.
Katanya, Kejohanan Sukan Olahraga Tahun 2022 pada kali ini, dilaksanakan dengan penuh makna, selepas dua tahun tidak dapat melaksanakannya secara bersemuka ekoran pandemik COVID-19.
“Tahniah kepada Unit Sukan, Sektor Pembangunan Bakat Murid PPD Kota Kinabalu dengan kerjasama SJKC ST James dan SMK Perempuan Likas yang telah berjaya mengelola bersama Urusetia MSSD KK Induk PPD Kota Kinabalu.
“Kejohanan Sukan Olahraga MSSDKK bagi Tahun 2022 pada kali ini yang berlangsung secara bersemuka merupakan aktiviti tahunan MSS yang mengumpul para atlet dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh PPD Kota Kinabalu bagi memilih wakil pasukan MSSD Kota Kinabalu ke Kejohanan Olahraga MSS Sabah yang akan berlangsung pada bulan Ogos 2022 di Kota Kinabalu.
“MSSD Kota Kinabalu juga telah diberi kepercayaan selaku Pengelola Bersama Sekretariat MSS Sabah untuk mengelola Kejohanan Olahraga MSS Sabah bagi tahun 2022,” katanya.