HomeIsu tempatanDua anak jati Kota Belud diberi penghargaan harumkan nama negara di pentas...

Dua anak jati Kota Belud diberi penghargaan harumkan nama negara di pentas dunia

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA BELUD : Dua anak jati daerah ini Nor Farah Mazlan dan Mohammad Amiruddin Adzmi menerima sijil penghargaan sempena Program Semarak Gemilang 2022 di sini semalam.

Kedua-dua mereka diberikan sijil penghargaan atas kejayaan merangkul pingat emas dan gangsa dalam Kejohanan Dunia Pencak Silat 2022 yang berlangsung di Melaka baru-baru ini.

Mohammad Amiruddin (tiga dari kanan) menerima cenderamata penghargaan daripada Salleh (dua dari kiri).

Majlis penyerahan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Salleh ketika berucap berkata, rakyat akan berasa bangga apabila menyaksikan Jalur Gemilang dan lagu Negaraku dinyanyikan pada kejohanan dunia.

“Apabila kita menyaksikan Jalur Gemilang berkibar dan lagu Negaraku dinyanyikan pada kejohanan dunia ini, pastinya sebagai rakyat Malaysia akan terbit rasa bangga melihat mereka berdua menjulang nama negara dalam bidang masing-masing,” katanya.

Justeru beliau menggesa penduduk khususnya di daerah ini untuk bersama-sama mengibar dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara.

Katanya, rakyat perlu bertekad untuk menerapkan mentaliti dan sikap peduli dalam kalangan masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang.

“Suntik dalam jiwa rasa hormat kepada Jalur Gemilang kerana ia bukan sekadar selembar kain tetapi merupakan lambang dan tanda kedaulatan sesebuah negara.

“Dalam pada masa yang sama, jangan kita mengambil mudah perihal menjaga martabat identiti serta imej negara dan marilah sama-sama kita memelihara perpaduan sebagai keluarga besar Malaysia.

“Didiklah anak-anak kita akan kepentingannya supaya semangat cinta dan sayangkan negara bukan sahaja kepada generasi masa kini, tetapi juga generasi masa hadapan,” katanya.

Persembahan PENTARAMA Jabatan Penerangan Negeri Sabah yang menghiburkan pengunjung sempena program tersebut.

Pada majlis itu, Salleh turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan wakil Komuniti Keluarga Malaysia Kota Belud.

Program itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh artis PENTARAMA Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa, Pegawai Daerah, Peter Jonu Moinjil, Ketua Polis Daerah, Supt. Shahrudin Mat Husain dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Abdul Sani Arsat.

RELATED ARTICLES
Sukan

34 pasukan jayakan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Kuala Penyu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular