HomeSukanSUKMA XX : Sabah diharap terus kekal pencapaian terbaik - Ellron

SUKMA XX : Sabah diharap terus kekal pencapaian terbaik – Ellron

Read Time:2 Minute, 7 Second

KUALA LUMPUR : Kontinjen Sabah yang bertanding pada minggu pertama temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 diharap akan terus mengekalkan pencapaian terbaik bagi memastikan buruan sasaran 40 pingat emas tercapai.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, Sabah kini berada di landasan yang betul namun perlu bersedia berdepan dengan pasukan lain yang sudah tentu telah membuat persiapan rapi.

Edisi ke-20 sukan terbesar negara itu akan berlangsung sehingga 24 September ini dan sehingga tengah hari tadi, Sabah sudah mengumpul 13 pingat emas, 13 perak dan 13 gangsa untuk berada di kedudukan kedua.

“Bagaimanapun, bersasarkan pencapaian setakat ini, adalah menjadi harapan untuk kita mencapai sasaran  iaitu 40 pingat emas,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Beberapa sukan telah menamatkan pertandingan di minggu pertama dan kontinjen Sabah dilegakan apabila skuad olahraga, karate dan wushu telah melepasi pingat emas yang disasarkan.

Olahraga penyumbang terbesar dengan tujuh pingat emas di samping lapan perak dan tiga gangsa, pencapaian yang melepasi lima pingat emas yang disasarkan.

Ia turut meletakkan Sabah sebagai pasukan kedua terbaik dalam sukan olahraga selepas Johor yang mengumpul sembilan pingat emas, enam perak dan tujuh gangsa. Olahraga menawarkan 44 pingat emas telah menamatkan pertandingan kelmarin.

Pingat emas olahraga Sabah dimenangi Andre Anura Anuar (lompat jauh dan lompat kijang lelaki), Farrell Glenn Felix Jurus (lompat tinggi lelaki), Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (400m wanita), Hizillawanty Jamain (800m wanita), Benedict Ian Gawok (110m lari berpagar lelaki) dan kuartet 4x100m wanita (Nur Aishah Rofina Aling, Chelsea, Patronella Lisong, Feova Lim, Esther Joanne Ailos and Camellia Jasten).

Karate juga melepasi dua pingat emas yang disasarkan apabila berjaya merangkul tiga pingat emas di samping dua peak dan tujuh gangsa. Pencapaian itu juga menjulang Sabah sebagai yang terbaik dalam sukan karate. Acara karate yang menawarkan 16 pingat emas telah menamatkan pertandingan pada Sabtu lalu.

Pingat emas dari skuad karate dimenangi Amirah Syahirah Azlan (kumite individu wanita -68kg), pasukan kata lelaki (Mohd Haznil Henry, Mohd Azhad Haziq Henry, Clevelence Carlos) dan pasukan kumite wanita (Amirah, Pressy Misty Philip, Leong Jia Chii, Michell Michelin Linus).

Skuad wushu yang hanya disasarkan pingat gangsa pula tamatkan cabaran dengan dua pingat emas di samping dua perak dan satu gangsa. Pencapaian itu meletakkan skuad wushu Sabah ketiga terbaik selepas Melaka (sembilan emas) dan Johor (enam emas).

Pingat emas dari wushu dimenangi Muhammad Hanif Abdullah (sanda -56kg) dan Muhammad Akid Azlan (sanda -60kg). Pertandingan wushu yang menawarkan 25 pingat emas selesai pada Jumaat lalu.

Satu lagi pingat emas disumbangkan Nevern Netaneel Marcellinus dalam sukan tenpin boling acara individu lelaki. Pertandingan tenpin boling masih berlangsung hari ini.

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Nguyen Anh Minh & Sieun Lee dinobatkan juara Kejohanan Golf Amatur...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular