KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) mencadangkan kerajaan Sabah mengikut langkah Pusat melaksanakan pendekatan proaktif bagi mengurangkan beban rakyat berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.
Ia termasuk memberikan diskaun 30 peratus terhadap bil utiliti seperti elektrik dan air, cukai tanah dan cukai pintu serta mengecualikan bayaran letak kereta dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pembaharuan lesen perniagaan.
Perkara itu disuarakan Presidennya, Datuk Chua Soon Ping yang berpandangan inisiatif terbabit wajar dilaksanakan selepas mengambil kira keadaan dihadapi rakyat Sabah ketika ini yang terjejas berikutan penutupan sebahagian aktiviti ekonomi.
“Kerajaan negeri perlu melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dengan memasukkan pemberian insentif seperti diskaun atau pengecualian bayaran untuk meringankan beban rakyat.
“SHAREDA mencadangkan kerajaan negeri bertindak dengan sebaiknya untuk memastikan keperluan mendesak rakyat Sabah dapat diselesaikan, khususnya dalam sektor pembinaan dan hartanah serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Banyak perniagaan dan individu berdepan kesukaran dari segi aliran tunai disebabkan jumlah jualan yang rendah atau penurunan pendapatan berpunca daripada pelaksanaan PKP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan kerajaan Pusat memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut kadar penggunaan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Soon Ping berkata, diskaun untuk bil utiliti mengurangkan beban kewangan rakyat yang bekerja dari rumah, selain anak-anak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang menyebabkan penggunaan utiliti isi rumah meningkat.
Pada masa sama, katanya pengecualian bayaran lesen perniagaan dan diskaun untuk cukai tanah serta cukai pintu juga dapat mengurangkan beban kewangan, selain untuk kelangsungan perniagaan setempat.
Sementara itu, beliau berkata, SHAREDA turut berharap pelaksanaan program vaksinasi COVID-19 untuk sektor industri di Sabah bermula 1 Julai ini berjalan lancar dalam usaha mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
“Kerajaan mesti mempercepatkan program vaksinasi dengan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam – Swasta (PIKAS) juga perlu diperhebatkan di Sabah. BERITA HARIAN