HomeIsu tempatan100 peserta sertai persidangan antarabangsa mengenai produk semula jadi

100 peserta sertai persidangan antarabangsa mengenai produk semula jadi

Read Time:2 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU : Seramai 100 peserta dari pelbagai institusi pendidikan tempatan dan luar negara telah menyertai ‘International Conference on Natural Products (ICNP)’ 2022 dengan tema ‘Sustainable Utilization of Natural Products for Health and Food Security’, baru-baru ini.

Seminar selama dua hari itu dianjurkan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Persatuan Sebatian Semulajadi Malaysia (MNPS).

Antara institusi yang menyertai adalah UMS, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Nanyang Technological University (NTU), Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) dan University of Surabaya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin berkata, persidangan tersebut berfungsi sebagai platform untuk para penyelidik berinteraksi dan berkongsi maklumat serta kepakaran dalam bidang produk semula jadi.

“Persidangan ini bertujuan mengemas kini tren penyelidikan berkenaan produk semula jadi bagi memupuk perbincangan mengenai tren global, perkembangan teknologi, implikasi pemindahan teknologi serta potensi produk semula jadi untuk kesihatan dan keselamatan makanan.

“Ketika ini kita menyaksikan kebangkitan global dalam penggunaan terapi berasaskan tumbuhan dan produk penjagaan botani. Sebagai contoh, pada tahun 2017 jualan suplemen herba di Amerika Syarikat meningkat sebanyak 8.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan anggaran nilai USD8 bilion.

“Daripada perspektif farmaseutikal, kita telah sedia maklum bahawa produk semula jadi dan tumbuh-tumbuhan mempunyai sifat-sifat farmakologi yang penting bagi menghasilkan ubat-ubatan penting untuk kegunaan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan ICNP 2022 bertempat di Hotel Hilton Kota Kinabalu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakil, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Tambah beliau peningkatan minat dalam ubat-ubatan dan produk herba telah merangsang kepada penyelidikan saintifik yang dapat memahami bahagian-bahagian aktif secara farmakologi dalam tumbuhan ubatan.

“Walaupun kebanyakan syarikat farmaseutikal terkemuka tidak memberi tumpuan kepada pembangunan ubat semula jadi buat masa ini, produk ini kekal sebagai sumber penting dan berpotensi berdaya maju.

“Justeru, persidangan ini menyediakan peluang besar kepada para pelajar dan penyelidik untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkembangan baharu yang menggunakan alat bioteknologi untuk meneroka sumber biologi di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IBTP Profesor Madya Dr. Monica Suleiman berkata, penganjuran tersebut mampu memberi peluang dan pendedahan kepada saintis muda dalam persidangan saintifik seperti ICNP.

“Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh semasa persidangan ini akan memberi anda galakan dan idea yang lebih menarik untuk terus melakukan penyelidikan dan penerokaan sains,” katanya.

Pembentangan kertas kerja pada ICNP 2022 meliputi aspek penyelidikan berkaitan penggunaan produk semula jadi yang lestari untuk kesihatan dan keselamatan makanan.

Turut hadir, Pengerusi MNPS Profesor Nor Hadiani Ismail.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Siswa UMS santuni komuniti kampung di Tambunan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular