Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Tahap permainan pasukan Sabah FC dilihat masih belum berada pada tahap memuaskan meskipun mencatat kemenangan besar dalam dua aksi persahabatan pra musim Liga Super 2023.
Perkara itu diakui Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee ketika ditemui selepas tamat perlawanan persahabatan menentang Melaka FC di Stadium Likas malam tadi menyaksikan pasukan kendaliannya cemerlang dengan keputusan 4-0.
Katanya, masih terdapat kelemahan yang perlu diatasi menjelang sepak mula Liga Super pada 25 Februari ini menentang PDRM FC.
Menurutnya, aksi menentang pasukan Liga M3, Melaka FC itu turut dibayangi dengan beberapa kelemahan yang membimbangkannya.
“Ada beberapa kelemahan terutama dari segi persembahan pada separuh masa kedua yang mana banyak kelonggaran apabila kita membenarkan pasukan pelawat mendapatkan ruang di belakang pertahanan kita.
“Jadi kita perlu memperbaiki segala kelemahan ini sebelum kita bermula,” katanya ketika diminta mengulas tahap permainan skuad Sang Badak selepas aksi persahabatan kedua itu semalam.
Sebelum ini, Sabah FC membelasah pasukan Geylang International FC dari Singapura 6-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Likas yang disifatkan sebagai petanda positif aksi skuad Sang Badak musim ini.
Bagaimanapun, Kim Swee berkata, beliau tidak melihat keputusan permainan dalam kedua-dua perlawanan persahabatan itu, sebaliknya lebih menumpukan kepada aspek permainan sebagai persediaan berhadapan Liga Super nanti.
“Kita dapat lagi 90 minit permainan dan yang penting semua pemain dapat beraksi lebih kurang 45 minit hari ini (malam tadi).
“Namun, sudah tentu saya tidak melihat dari segi keputusan. Sebaliknya ada beberapa lagi kelemahan yang perlu kita perbaiki,” katanya.
Sabah FC sekali lagi akan beraksi dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Likas pada Sabtu ini menentang Tampines Rovers FC dari Singapura.
Aksi persahabatan menentang Melaka FC malam tadi menyaksikan Sabah FC merembat tiga gol pada separuh masa pertama menerusi Jacob Njoku (minit 26),Telmo Castanheira (minit 39) dan Stuart John Wilkin (minit 43).
Gol keempat pula dijaringkan pada minit akhir permainan separuh masa kedua menerusi pemain import dari Brazil Jailton Paraiba (minit 91). – SABAH MEDIA