Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Qhazanah Sabah Berhad (QSB) semalam menyerahkan sumbangan kepada Rumah Amal Kasih Kingfisher (RAKK) berjumlah RM10,000.
Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) syarikat berkenaan selain turut meraikan seramai 30 anak-anak yatim dari RAKK dalam satu majlis berbuka puasa bersama QSB.
Pada majlis itu, kumpulan syarikat perniagaan QSB turut menyampaikan Zakat Perniagaan Tahun 2022 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Pengerusi QSB Datuk Dr Yusof Yacob berkata, program CSR itu adalah merupakan acara tahunan sempena bulan Ramadan.
“Ianya bertujuan untuk meringankan lagi beban mereka yang memerlukan,” katanya yang turut mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika di majlis berkenaan, semalam.
Sementara itu, Pengasas RAKK Nooraisah Ayub berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada QSB atas sumbangan ikhlas itu.
“Sumbangan itu sudah pastinya dapat meringankan beban RAKK dalam kos operasi harian,” katanya.
Dalam majlis yang sama, kumpulan syarikat daripada QSB telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM125,972.
Manakala, rakan perniagaan Celcom Timur Sabah Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.05 juta.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Ahmad Rizal Dahli, Pengerusi Angkatan Hebat Datuk Seri Abdul Rahim Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Common Tower Mikail S. Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Timur Sabah Nazaruddin Abdul Rahim.
Muis diwakili Ahli Majlis Tertinggi Datuk Mohd. Dandan Alidin.