KOTA KINABALU: Polis berjaya menangkap empat remaja lelaki di bawah umur termasuk seorang wanita berusia 17 tahun dipercayai terlibat dalam kes rogol berkumpulan di sebuah rumah tumpangan di kawasan Kampung Air, dekat sini pada 26 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu pada 27 April lalu menyatakan telah menjadi salah seorang mangsa kejadian rogol berkumpulan di sebuah rumah tumpangan di kawasan Kampung Air, Kota Kinabalu.
“Kejadian yang berlaku pada minggu lepas itu turut melibatkan tiga lagi rakan mangsa yang masih dibawah umur membabitkan suspek empat remaja lelaki yang tidak dikenali dan seorang wanita yang dikenali oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zaidi berkata, menurut pengadu, malam kejadian itu, suspek empat lelaki dan satu wanita tersebut telah menegur ketiga-tiga mangsa semasa berada di sebuah pusat membeli belah di daerah Kota Kinabalu dan telah memujuk kesemua mangsa untuk melepak di rumah tumpangan mereka di Kampung Air, Kota Kinabalu.
Katanya, semasa berada di rumah tersebut, kesemua mangsa telah diumpan untuk menghisap vape yang berperisa baharu, sebaik sahaja menuruti pelawaan suspek, ketiga-tiga mangsa telah tidak sedarkan diri.
“Apabila kesemua mangsa tersedar pada tengah malam tersebut mendapati kesemua mereka dalam keadaan tidak berpakaian manakala kelima-lima suspek tersebut telah menghilangkan diri. Ketiga-tiga mangsa mengesyaki mereka telah dirogol lalu membuat laporan polis,” katanya.
Bertindak atas laporan yang dibuat oleh mangsa, Zaidi berkata, Polis Daerah Kota Kinabalu telah berjaya mengesan dan menangkap kelima-lima suspek yang terlibat di sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan di kawasan Telipok Ria, Tuaran.
“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 5 Mei 2023 untuk siasatan dibawah Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan Dan 375(B) Kanun Keseksaan.
“Sehubungan dengan itu, pihak polis ingin menasihati para remaja terutamanya remaja perempuan agar tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan kenalan lelaki yang baru dikenali dan tidak mencuba untuk menghisap vape kerana akan membawa kepada risiko keselamatan diri,” tegasnya.