KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menggalakkan syarikat dan industri berkaitan pertanian, perindustrian dan pelancongan di negeri ini untuk mengintegrasikan penggunaan dron dalam operasi harian.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkembangan teknologi dron perlu diadaptasi dengan segera oleh pemain industri, memandangkan teknologi berkenaan mempunyai penggunaan yang meluas dan mampu untuk menyelesaikan beberapa isu dengan segera, termasuk kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian.
“Ini agar mereka mampu untuk berkembang seiring dengan kemodenan teknologi semasa.
“Kita mengakui bahawa integrasi teknologi dron ke dalam ekonomi Sabah mempunyai pulangan yang besar untuk kemajuan dan kemakmuran negeri kita. Walau
bagaimanapun, ia memerlukan usaha kerjasama daripada semua pihak berkepentingan – kerajaan, pemain industri, penyelidik dan daripada masyarakat sendiri”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan “Sabah Drone Open Day 2023” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Hajiji berkata, dron telah menjadi sebahagian daripada teknologi moden, dan aplikasinya berkembang pesat merentasi pelbagai industri,daripada pertanian kepada infrastruktur, daripada perkhidmatan, penghantaran kepada pemantauan alam sekitar.
Menurutnya, dron juga boleh membantu dalam memastikan pemeliharaan ekosistem kita yang rapuh untuk generasi akan datang dan memulihara rizab semula jadi kita yang penting untuk pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Ia merupakan satu bidang baharu yang perlu dipelopori dan sudah tentu kita di pihak kerajaan mengalu-alukan dan juga ingin memudah cara kepada perkembangan dan pertumbuhan bidang dron ini.
“Sungguhpun peraturan keselamatan dan peraturan dron adalah penting untuk dipatuhi bagi memastikan penggunaan dron yang bertanggungjawab dan selamat, adalah sama penting bahawa peraturan-peraturan ini tidak seharusnya menjadi penghalang yang menyekat potensi aplikasi dron dalam sektor ekonomi kita”, tambahnya.
Menurutnya, dalam era yang didorong oleh kemajuan teknologi yang pesat, adalah penting untuk kita menyedari kepentingan teknologi dan inovasi dalam meningkatkan ekonomi dan masyarakat kita secara keseluruhan.
Beliau berkata, Sabah yang diberkati dengan kekayaan sumber semula jadi, warisan budaya, dan industri pelancongan yang rancak tidak seharusnya ketinggalan dalam
perlumbaan untuk penyesuaian teknologi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya saing dalam sektor ekonomi.
“Adalah penting bagi kita untuk bersaing dan merebut peluang yang ditawarkan oleh teknologi yang mana ia akan membuka jalan kepada kepelbagaian, peningkatan
produktiviti, penciptaan pekerjaan, dan pembangunan yang mampan.
“Oleh itu adalah penting untuk kita mempersiapkan tenaga kerja untuk
memperkasakan era digital melalui inisiatif peningkatan kemahiran”, tegasnya.
Hajiji berkata, teknologi dan inovasi telah menjadi daya penggerak di sebalik pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mengubah industri, menambah baik
model perniagaan tradisional dan mencipta peluang baharu untuk usahawan dan pekerjaan.
“Lebih-lebih lagi, ia menarik pelaburan dan memupuk keusahawanan dengan menyediakan platform untuk golongan pemuda dan usaha niaga yang inovatif untuk berkembang maju.
“Ini seterusnya menyumbang kepada penciptaan peluang-peluang
pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan membina taraf hidup yang lebih baik untuk seluruh masyarakat. Teknologi menjadi alat untuk kita membina dunia yang lebih baik untuk kita hari ini dan untuk generasi akan datang”, tegasnya.
Tambah beliau, penganjuran “Sabah Drone Open Day 2023” menandakan satu peristiwa penting untuk meneroka potensi besar dron dan bagaimana dron boleh merevolusikan ekonomi kita.