Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK23) di Theatrette Ahmad Nisfu, ASTiF di sini baru-baru ini.
Persidangan dua hari yang bertemakan Seni, Kreativiti dan Teknologi Memartabatkan Budaya itu menghimpunkan sebanyak 68 kertas kerja merangkumi pelbagai tajuk yang berkait dengan seni, sastera lisan dan moden, tarian, teater, filem serta industri kreatif.
Ucaptama persidangan ini disampaikan oleh Pengasas Studio Ace Production, Geoffrey Sinn Chun Hou yang bertajuk ‘Navigating Relevance: Creative Workers in the Transformative Era’.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, PASTIK23 merupakan usaha ASTiF yang cemerlang dalam konteks mempromosikan penyelidikan khususnya dalam bidang seni kreatif.
“Peranan seni kreatif sebagai satu medium yang mengangkat budaya, adat dan tradisi pemangkin masyarakat perlulah diteruskan dengan mengimplimentasikan teknologi seni kreatif bagi memperkasa adat dan tradisi warisan menerusi pertemuan para pengkaji dan ahli akademik yang menjadi satu platform perbincangan dan perkongsian informasi dalam sejagat kebudayaan.
“Pakar seni haruslah mengambil peluang dengan menggabungkan disiplin ilmu seni dalam bidang reka bentuk grafik, sains dan industri melalui penggunaan teknologi komputer untuk menghasilkan penerbitan akademik yang berkualiti,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.
Tambah beliau, implementasi teknologi dalam bidang seni mampu membuka horizon baharu kepada para pengkaji seni untuk lebih kreatif dengan menggabungkan berbagai elemen visual, audio dan interaktif.
Katanya, gabungan disiplin ilmu dalam penyelidikan dan penerbitan penting untuk mengintelektualkan ilmu seni, sekali gus mampu melonjakkan martabatnya secara global.
PASTIK23 dianjurkan buat kali ketiga melibatkan seramai 123 peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UITM) termasuk UMS serta universiti antarabangsa dari Brunei, Indonesia dan China.
Turut hadir Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam dan Pengerusi PASTIK23, Prof. Dr. Low Kok On.