SOOK: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menganjurkan program Klinik Pemerkasaan Kepimpinan Belia, Wanita dan Ekonomi Luar Bandar Tahun 2023 peringkat Negeri Sabah di daerah kecil Sook, baru-baru ini.
Setiausaha Bahagian KKDW,
Che Mohd Zulkifli Ismail berkata, program ini adalah inisiatif KKDW dalam mensejahterakan luar bandar.
Katanya, pembangunan luar bandar merupakan satu agenda yang penting dalam memastikan Malaysia dapat mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, tanpa meminggirkan penduduk luar bandar.
“Pelbagai program telah dilaksanakan sama ada dari segi infrastruktur, ekonomi dan pembangunan modal insan bagi memastikan penduduk luar bandar dapat mengecapi nikmat pembangunan negara, selari dengan penduduk bandar.
“Telah banyak inisiatif mahu pun program yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar yang menyeluruh dan tersusun, namun ianya boleh diberi nilai tambah dengan adanya penglibatan pelbagai pihak samada pihak Kerajaan dan swasta dengan masyarakat. Oleh itu, usaha yang berterusan adalah penting bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan supaya dapat mewujudkan kehidupan yang sejahtera,” kata Che Mohd Zulkifli dalam ucapannya semasa program itu.
Menurutnya lagi, objektif utama yang ingin dicapai melalui program ini, adalah untuk memberi inspirasi dan laluan kepada masyarakat luar bandar agar dapat menerima maklumat secara terus dan perkhidmatan yang berkesan.
Katanya, penganjuran program seperti ini adalah salah satu langkah yang membolehkan kita berkongsi idea dan amalan terbaik dalam melaksanakan kerjasama bersama Kerajaan, swasta dan komuniti luar bandar yang lestari dan berimpak tinggi.
“Tumpuan diberikan kepada pembangunan sosio-ekonomi luar bandar dengan pembukaan tanah dan mewujudkan industri kecil. Di samping itu, perhatian juga diberikan bagi meningkatkan tahap sosial masyarakat seperti aspek kesihatan, pendidikan dan sebagainya.
“Selaras dengan itu, KKDW adalah sebuah Kementerian yang meneraju pembangunan luar bandar dengan melahirkan masyarakat luar bandar yang sejahtera dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Selain itu, visi ‘’Luar Bandar Sejahtera’’ juga memfokuskan kepada pembangunan mampan yang akan memastikan pembangunan berimbang dan saling melengkapi antara pelbagai aspek,” jelas beliau.
Che Mohd Zulkifli berkata, KKDW telah pun melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) yang mensasarkan kepada pembangunan luar bandar yang holistik untuk tempoh sehingga 2030. Salah satu strategi yang digariskan dalam dasar ini adalah memperkukuhkan kerjasama di antara pihak Kerajaan dan swasta bersama masyarakat dalam usaha untuk membangunkan luar bandar.
“Simbiosis antara sektor awam dan swasta menjadi formula penting dalam memajukan sosio-ekonomi masyarakat di negara maju, yang bukan sahaja menampilkan syarikat gergasi dan berpengaruh, tetapi juga melibatkan syarikat sederhana besar dan bersifat lokal.
“Salah satu inisiatif KKDW terhadap pembangunan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar adalah melalui pelaksanaan Program Pemerkasaan Belia, Wanita dan Ekonomi Luar Bandar,” ujarnya.
Tambah beliau, program ini adalah bersifat bimbingan secara berterusan antara Penggerak atau pegawai agensi KKDW serta Local champion (LC) kepada kampung.
“Melalui program ini, pembangunan ekonomi dapat dijana dengan lebih berkesan, berdaya tahan dan berterusan. Namun ianya harus dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Persatuan-persatuan aktif di kampung bersama Jabatan / Agensi Kerajaan mahupun swasta dan komuniti luar bandar,” katanya.