HomeIsu tempatanLaksana program secara konsisten, bantu beri kefahaman kepada rakyat

Laksana program secara konsisten, bantu beri kefahaman kepada rakyat

Read Time:1 Minute, 23 Second

Beaufort : Penganjuran program secara konsisten akan mendorong kepada peningkatan penyertaan masyarakat pada program yang dianjurkan sekaligus memberi impak positif kepada kefahaman dan keterlibatan rakyat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, program yang diadakan diyakini mampu menarik minat dan kefahaman masyarakat dan seterusnya mereka akan hadir pada program-program yang akan diadakan di masa akan datang.

“Dengan mengadakan program secara konsisten ini, masyarakat khususnya di Weston ini akan faham kepada keperluan untuk menderma darah secara konsisten seterusnya membantu pesakit yang memerlukan di Hospital Beaufort.

“Peningkatan kutipan beg darah dari program-program sebelumnya membuktikan setiap individu di Weston berminat untuk menderma secara berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Derma Darah Pekan Weston anjuran bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Weston dan Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort di Dewan Seri Dayang Weston di sini baru-baru ini.

Program itu turut mendapat kerjasama Hospital Beaufort dan Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort.

Sambutan kali ini amat menggalakkan kerana terdapat pelbagai acara tarikan kepada penderma antaranya, gerai jualan dan makanan yang menjual produk Pekan Weston, cabutan tiket pengunjung bertuah, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort dan pelbagai pameran lain.

Difahamkan kutipan beg darah sebelum ini mencecah ke 78 beg darah dan pada program tersebut sejumlah 89 beg darah telah dikutip.

Program derma darah tersebut merupakan kali ketiga diadakan tahun ini dan mensasarkan empat kali program derma darah pada tahun hadapan.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Sabah, Otoh Sidik, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan Lumadan, Diuslin Augustine, wakil Pegawai Kesihatan Kawasan Beaufort, Dr. Nur Diyanah Shukri, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Weston, Dr.Nur Farihah Nasir dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Weston, Aznezam Abdul Rahman.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular