Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus memperkasa operasi pembanterasan penyeludupan dengan menggunakan peralatan terkini dan meningkatkan kekuatan anggota.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, penggunaan peralatan terutamanya mesin pengimbas yang lebih canggih membantu aktiviti penguatkuasaan undang-undang khususnya di Sabah yang mempunyai kawasan perairan laut yang luas.
“Kita tahu di Sabah ini perairannya besar dan pihak-pihak yang melakukan aktiviti-aktiviti di luar undang-undang ini selalunya akan mencari jalan, jadi kita pun nak kena lebih maju juga daripada mereka.
“Kita perkasakan peralatan-peralatan ini bagi membantu penguatkuasaan agar pihak kita tidak melepaskan barang tersebut, simply dengan pengikraran yang tidak betul.
“Dari segi perjawatan pegawai, kita memang penuhkan supaya kita boleh buat operasi dengan kekuatan yang cukup untuk kita menangani setiap penyeludupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu di sini.
Siti berkata, sasaran pencapaian dari segi kutipan hasil Kastam Zon Sabah keseluruhannya sudah tercapai dan dijangka meningkat dalam tempoh dua bulan terakhir tahun ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kastam Sabah ( Operasi ) Syed Patra Awid, Pegawai Khas Korporat, Zulhilmi Munir dan Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Dr. Tricia Andrew Nusius.