HomeUtamaHajiji Yakin Isu MA63 Ditangani Satu-Persatu

Hajiji Yakin Isu MA63 Ditangani Satu-Persatu

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hubungan di antara negeri dan persekutuan akan dapat ditangani satu persatu atas semangat sebuah Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, prinsip hidup bernegara sama seperti konsep hidup berkeluarga yang mana akan ada berlaku perbezaan pendapat.

“Seakrab mana pun hubungan, kita tidak mungkin akan sependapat dalam segala hal. Apatah lagi jika ada lautan di tengah-tengah yang memisahkan wilayah dan keunikan susur galur sejarah masing-masing.

“Namun, dalam dunia hari ini yang semakin gawat dengan segala bentuk ancaman geo-politik, perpaduan yang dibentuk melalui semangat kekeluargaan adalah menjadi satu kewajipan, bukan lagi sekadar pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Setahun Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) disini hari ini.

Hajiji berkata, semua pihak perlu sentiasa positif bahawa sebarang perbezaan dan pertembungan kepentingan akan dapat dirungkai melalui rundingan dan permuafakatan.

“Retorika politik untuk meraih populariti bukanlah jawapan, dan jauh sekali membawa nilai dan makna kepada agenda perjuangan.

“Insya Allah, kita optimis, selagi mana kita mengutamakan citra kekeluargaan lebih daripada segala kepentingan lain, isu-isu tertangguh yang melingkari hubungan antara negeri dan persekutuan akan menemui titik kesepakatan demi kelestarian tanah air tercinta,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bergerak seiring dan saling melengkapi dengan pelan pembangunan di peringkat nasional.

Katanya, atas dasar itu, Sabah amat mengalu-alukan dan menyambut baik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat Isnin lalu.

“Selain komitmen untuk melonjakkan tahap pembangunan di negeri Sabah, beberapa projek pembangunan yang amat signifikan dan kritikal yang telah dicadangkan oleh Kerajaan Negeri telah dimasukkan dalam pelan pembangunan lima tahun tersebut.

“Ini termasuklah pembinaan beberapa pos kawalan sempadan yang baharu di antara wilayah Sabah dengan Kalimantan, pelaksanaan Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan peruntukan RM3.61 bilion, penambah baikan bekalan eletrik dengan pembinaan loji janakuasa baharu serta naik taraf talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah dan banyak lagi,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan Sabah juga amat menghargai komitmen Perdana Menteri yang sekali lagi mengulangi tekad untuk menyelesaikan isu-isu berhubung MA63.

“Adalah diharapkan Kerajaan Persekutuan dapat menetapkan garis masa untuk memastikan usaha murni ini dapat ditunaikan dengan lebih strategik,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular