KUNDASANG: Pembukaan semula pelbagai aktiviti serta sektor ekonomi akan dapat memacu kembali pertumbuhan ekonomi setempat di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ianya juga akan dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat, namun demikian prosedur operasi standard (SOP) harus sentiasa dipatuhi agar proses pemulihan ekonomi tidak terjejas.
“Pelbagai aktiviti dan sektor-sektor ekonomi sudah mula dibuka, ini termasuk lah tamu-tamu dan pasar malam.
“Ia akan dapat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat di negeri ini.
“Dalam melakukan aktiviti, penting untuk kita mematuhi SOP agar segala rancangan pemulihan dan pembukaan ekonomi tidak akan terganggu lagi dengan jangkitan-jangkitan atau peningkatan kes COVID-19 disebabkan kecuaian kita” jelasnya.
Shahelmey berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Rukun Tetanga (RT) Care di Tamu KRT Kundasang anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) pada Sabtu.(23 Oktober 2021)
Terdahulu, dalam program yang sama, Shahelmey turut menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada peniaga-peniaga Tamu KRT Kundasang yang merupakan Ahli Kawasan Rukun Tetangga Kundasang.
Beliau berharap sumbangan yang diberikan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui JPNIN yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah kepada para peniaga yang baru kembali memulakan perniagaan itu akan dapat meringankan sedikit beban mereka.
“Saya berharap sumbangan ini akan dapat membantu meringankan sedikit beban para peniaga yang terkesan dan baru memulakan kembali perniagaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya.