LAHAD DATU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua vesel nelayan yang didapati melanggar syarat lesen ketika operasi di perairan Tabawan, Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan sekitar jam 5 petang pada kedudukan kira-kira 0.48 batu nautika selatan Kampung Desa Bajau semasa rondaan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati sebuah vesel pukat keliling dikendalikan seorang lelaki warga Filipina berusia 43 tahun bersama 10 kilogram hasil tangkapan ikan campur.

“Manakala sebuah lagi vesel dikendalikan tiga warga Filipina berusia antara 16 hingga 30 tahun dengan hasil tangkapan kira-kira 8 kilogram. Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dzulfikhar berkata, siasatan mendapati kedua-dua bot beroperasi kurang daripada jarak 1.5 batu nautika dari daratan terdekat, melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.
Katanya, kes turut disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah kerana gagal memaklumkan pertukaran tekong pada lesen bot.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha vesel nelayan yang ingkar syarat lesen, khususnya mereka yang menangkap ikan dalam zon larangan. Peraturan jarak ini penting bagi memelihara ekosistem marin dan memastikan sumber perikanan negara kekal mampan.
“Kedua-dua bot, kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya.
Maritim Malaysia turut menyeru komuniti maritim agar mematuhi undang-undang laut serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA



