KUNDASANG : Edisi ‘Kundasang New Year Super Novice Challenge’ 2026 bakal menyaksikan peningkatan ketara dari segi cabaran teknikal apabila beberapa halangan baharu diperkenalkan khusus untuk menguji kemahiran pemandu dan keupayaan jentera 4×4.
Acara yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Januari 2026 di Kampung Dodon itu menampilkan laluan curam, perangkap lumpur yang lebih dalam, serta “winching zone” yang direka dengan tahap kesukaran lebih tinggi berbanding edisi terdahulu.
Pengerusi penganjur, Fadhli Tajuddin, berkata pengenalan halangan baharu itu dilakukan untuk meningkatkan mutu saingan selain memberikan pengalaman lebih mendebarkan kepada para peminat sukan lasak.

“Penganjuran tahun ini bukan sahaja melibatkan lebih banyak pasukan, malah kami mahu memastikan peserta benar-benar diuji dari aspek kawalan kenderaan, strategi, dan kekuatan pasukan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa semua halangan baharu itu dibina mengikut garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA) bagi memastikan aspek keselamatan peserta dan penonton berada pada tahap optimum.
“Kami memperketatkan prosedur keselamatan, termasuk pemantauan marshal di setiap zon berisiko tinggi. Keutamaan kami ialah mengelakkan insiden tidak diingini sepanjang pertandingan,” katanya.
Acara selama tiga hari itu dijangka menarik tumpuan peminat sukan ekstrem dari seluruh Sabah dan Brunei yang ingin menyaksikan sendiri kemampuan peserta menawan halangan yang lebih teknikal dan mencabar daripada biasa.
Penganjur turut memaklumkan bahawa sebarang perubahan berkaitan perlaksanaan halangan akan diumumkan dari masa ke semasa bagi memastikan kelancaran penganjuran. – SABAH MEDIA



