HomeUtamaSelat Melaka Kekal Di Bawah Kendalian Serantau, Tiada Keperluan Campur Tangan Kuasa...

Selat Melaka Kekal Di Bawah Kendalian Serantau, Tiada Keperluan Campur Tangan Kuasa Luar

Read Time:1 Minute, 30 Second

KUALA LUMPUR — Malaysia menegaskan bahawa Selat Melaka kekal aman dan berada di bawah kawalan negara serantau, sekali gus menolak keperluan sebarang campur tangan kuasa luar dalam pengurusan laluan perairan strategik itu.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang cadangan berkaitan Selat Melaka perlu diputuskan secara bersama oleh negara yang berkepentingan di rantau ini, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Selat Melaka berada dalam keadaan aman, tiada halangan kepada kapal untuk lalu lalang dan tidak ada sebab untuk mana-mana negara, sama ada kuasa kecil atau besar, menyatakan hasrat untuk mengawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup DSA and NATSEC Asia 2026 di MITEC, di sini hari ini.

Terdahulu, timbul spekulasi mengenai kemungkinan Amerika Syarikat untuk mengambil peranan lebih besar dalam mengawal Selat Melaka, namun Malaysia menegaskan isu itu tidak berbangkit memandangkan negara serantau mempunyai keupayaan sendiri untuk mengurus keselamatan laluan tersebut.

Menurut Mohamed Khaled, pendekatan kerjasama serantau adalah kunci dalam memastikan keselamatan dan kelancaran laluan maritim itu terus terjamin tanpa memerlukan campur tangan pihak luar.

Mengulas cadangan Indonesia untuk mengenakan levi ke atas kapal komersial yang melalui Selat Melaka, beliau berkata Malaysia berpendirian bahawa sebarang keputusan perlu dibuat secara bersama dan bukan secara unilateral.

Pendirian itu selari dengan kenyataan Menteri Luar, Mohamad Hasan yang menegaskan kepentingan pendekatan konsensus dalam kalangan negara ASEAN bagi memastikan keselamatan maritim terus terpelihara.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata penganjuran DSA dan NATSEC Asia 2026 terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh diplomasi pertahanan serta merangsang pertumbuhan industri tempatan ke peringkat global.

Menurutnya, platform itu bukan sahaja menjadi medan pameran, malah mencerminkan keupayaan Malaysia mengamalkan pendekatan berkecuali dengan menghimpunkan negara yang mempunyai perbezaan kepentingan dalam satu ruang yang aman.

“Penganjuran ini membuktikan Malaysia mampu menjadi platform yang menghimpunkan negara yang bersaing atau berseteru dalam suasana harmoni, sekali gus mencerminkan kekuatan pendekatan berkecuali negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Kekal tenang dan amalkan perbelanjaan berhemah – ...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular