KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Rabu, 27 Mei 2026, bersamaan 10 Zulhijah 1447 Hijrah.
Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Muhammad Affendi Jalaludin menerusi siaran langsung di televisyen nasional malam ini.
Beliau berkata, tarikh berkenaan ditetapkan selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta persetujuan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya, bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1447 Hijrah ialah pada 18 Mei 2026.
“Oleh yang demikian, Hari Raya Aidiladha bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 27 Mei 2026 Masihi,” katanya.
Terdahulu, proses melihat anak bulan Zulhijah bagi menentukan tarikh permulaan bulan Islam itu dilakukan pada petang Ahad, 17 Mei, di 29 lokasi cerapan rasmi di seluruh negara.



