Gapari Foodbank Bantu Penduduk Memerlukan Di Tambunan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 2 Second

8 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

TAMBUNAN : Sebuah pusat sehenti yang dinamakan sebagai ‘Gapari Foodbank’ dilancarkan disini bagi memberi perkhidmatan dan bantuan khususnya makanan kepada mereka yang memerlukan ketika pandemik COVID-19.

Inisiatif itu adalah hasil cetusan idea Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.

“Idea bagi melaksanakan Foodbank ini baharu saja tercetus minggu lalu bersama rakan disini dan kerja pembinaan segera dilaksanakan dengan kos yang ditetapkan selain lokasi pun turut dikenal pasti.

“Premis ini menyediakan barang-barang makanan untuk diedarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.  Antara yang ada disini adalah seperti Mee, Beras, Bumbu dan hasil pertanian lain serta beberapa jenis makanan lain,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan ‘Gapari Foodbank’ dalam satu majlis ringkas disini kelmarin.

Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan ketika melihat produk yang terdapat di premis berkenaan

Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, premis yang dibuka bertempat di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan itu akan mula beroperasi jam 9 pagi sehingga 4 petang pada waktu bekerja.

“Walaubagaimanapun, sekiranya ada yang memerlukan bantuan pada hujung minggu, premis ini juga akan turut dibuka.

“Kita turut mengalu-alukan sekiranya ada orang awam ingin menyumbang bagi mengisi stok bekalan makanan di Foodbank ini,”katanya.

Katanya, objektif penubuhan Foodbank itu adalah bagi memastikan tiada penduduk di daerah ini kelaparan dan pihaknya sentiasa mengalu-alukan kehadiran penduduk yang memerlukan bantuan.

Sementara itu, Dr Jeffrey berkata, petugas di Foodbank berkenaan juga akan membantu menghantar bekalan makanan kepada penduduk khususnya yang tinggal jauh dari lokasi premis bantuan.

“Saya tahu bahawa lokasi ini mungkin agak jauh dari kampung-kampung di mana barang-barang tersebut sangat diperlukan. Mereka tidak perlu turun ke sini jika tidak dapat melakukan perjalanan.

“Mereka hanya perlu menghubungi JPKK mereka dan berikan senarai barang-barang yang  diperlukan serta jumlah orang di rumah mereka. Pihak kami akan hantar barang-barang keperluan sampai ke depan pintu rumah mereka secara percuma,”katanya.

Meskipun tiada jumlah had terhadap jumlah barang keperluan yang diambil namun Dr Jeffrey berharap penduduk mengambil keperluan secara jujur dan bertanggungjawab serta mengikut keperluan.

Foodbank ini akan beroperasi selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa dan ada orang memerlukannya.

“Selepas tamat PKP, saya ingin inisiatif ini menjadi satu perkhidmatan tetap di Pusat Servis kami. Malah, kita boleh mengubahnya kepada sebuah pasar mini, yang menawarkan hasil-hasil tani tempatan dengan harga yang sangat berpatutan, ”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *