Kepesatan Pembangunan, Sungai Tercemar Antara Punca Bekalan Air Tidak Menampung Keperluan Pengguna

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 28 Second

10 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

KOTA KINABALU : Masalah gangguan bekalan air bukanlah isu baharu yang berlaku di Kota Kinabalu khususnya di Sepanggar, sebaliknya ia  berlaku sejak tahun 2013 lagi  dan keadaan bertambah buruk pada tahun 2018 apabila kepesatan pembangunan termasuklah wujudnya kawasan kawasan perumahan baharu khususnya di kawasan tersebut .

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berikutan kepesatan pembangunan yang berlaku, bekalan air terawat tidak dapat menampung keperluan pengguna yang semakin bertambah.

“Beberapa faktor lain turut menjejaskan bekalan air bersih antaranya sungai (air mentah) yang tercemar dan menyebabkan air berkenaan tidak dapat diproses menyebabkan loji air terpaksa ditutup.

“Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan paip pecah atau masalah teknikal lain turut menyebabkan bekalan air bersih tidak dapat disalurkan dengan baik,”katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman kononnya Jabatan Air Sabah tidak membantu dalam menyalurkan bantuan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan Sabah tidak pernah mengabaikan isu yang membabitkan keperluan rakyat khususnya bekalan air bersih namun telah mengambil tindakan proaktif bagi menanganinya.

Katanya, kerajaan telah mengambil keputusan bagi melaksanakan rancangan pemulihan secara berperingkat dalam tempoh satu hingga lima tahun dan rancangan ini akan mengambil masa.

“Ini adalah antara tindakan proaktif kita dalam menangani isu gangguan bekalan air bersih khususnya di Sepanggar dan pada peringkat pertama, pelaksanaannya akan dilaksanakan serta merta dalam masa setahun ini.

“Ia termasuklah menghantar bantuan air kepada mereka yang terjejas teruk sementara menunggu projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa Dua siap sepenuhnya,”katanya.

Sementara itu, Bung meminta agar pihak terbabit tidak mengambil ‘Political Mileage’ berhubung isu gangguan bekalan air bersih di kawasan Sepanggar dan sekitarnya selain mendakwa kerajaan mengabaikan keperluan rakyat.

Bung turut mengadakan lawatan meninjau masalah air di Bandar Sierra awal tahun ini

Katanya, Jabatan Air Sabah telah menghantar bekalan air bersih melalui lori tangki setiap hari dikawasan yang terlibat berjumlah 2,200,000 liter air sementara JETAMA turut membantu 1,365,000 liter air menjadikan jumlah keseluruhan 3,585,000 liter air sejak Januari lalu.

“Penghantaran bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas selain catuan dibuat Jabatan Air secara bergilir-gilir di kawasan yang terlibat.

 “Dakwaan kononnya Jabatan Air tidak membantu merupakan satu pembohongan malah saya sendiri turun padang dan turut meminta kepada pihak pemaju di kawasan perumahan terlibat untuk menambah bilangan tangki air sebagai tempat stok penyimpanan namun tidak dilaksanakan pemaju terlibat, “katanya.

Dalam perkembangan sama, Bung berkata, beberapa cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan dan telah bersetuju atas cadangan yang dikemukakan termasuklah cadangan pembinaan kolam Takungan Air Mentah di setiap LRA di Sabah bagi menangani isu bekalan air.

“Bagi tindakan jangka panjang  proses perolehan  bagi empangan Papar juga akan dilaksanakan dimana kerja-kerja fizikalnya disiapkan dalam tempoh 5 tahun.

“Sekiranya perancangan tidak dilakukan secara teliti dalam menangani isu air di negeri ini, kesannya untuk jangka panjang akan lebih buruk dan pengguna (rakyat) akan berterusan menghadapi krisis bekalan air bersih,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *