Sabah Benarkan Solat Aidiladha Dan Ibadah Korban Dilaksanakan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Sabah membenarkan solat sunat Aidiladha dan pelaksanaan ibadah korban dijalankan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bagi solat sunat Aidiladha dibenarkan dengan jumlah satu pertiga daripada keluasan dewan utama solat atau 50 orang jemaah atau mana yang lebih rendah.

“Antara syarat yang perlu diikuti ialah jemaah harus lengkap mengambil dua dos vaksin serta syarat lain yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Walaubagaimanapun, keputusan ini tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata, bagi pelaksanaan ibadah korban ia turut dibenarkan kecuali dikawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) namun begitu ianya bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tujuan pelaksanaan.

Katanya, pelaksanaan ini tertakluk kepada pematuhan garis panduan yang telah ditetapkan dan pemakaian Garis Panduan Korban Tahun 2020, Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban, Tahun 2017 Pejabat Mufti Negeri Sabah, Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan), 2009, Garis Panduan Penyembelihan.

“Bagi lokasi penyembelihan pula ianya perlu dilaksanakan di Rumah Sembelihan; Rumah Penyembelihan ruminan swasta yang berlesen; Masjid dan Surau dengan kelulusan Pihak Berkuasa Agama Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Selain itu, lokasi lain adalah di kawasan lapang seperti Balai Raya, Dewan yang bersesuaian dengan kebenaran pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterina (DVS), Penyelarasan JHEAINS dan Pejabat Kesihatan Daerah,”katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, permohonan di lokasi lain selain daripada masjid dan surau perlu memohon kebenaran kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan lebih awal.

Katanya, jumlah haiwan sembelihan di masjid atau surau tidak lebih daripada lima ekor sehari kecuali kambing 10 ekor. Pengecualian bilangan haiwan ini diberikan kiranya di proses di rumah penyembelihan yang dibenarkan.

“Jumlah petugas adalah tidak melebihi 20 orang sehari dengan syarat iainya sihat tubuh badan dan lengkap menerima dua dos vaksin.

“Jamuan petugas hanya berbungkus sahaja. Aktiviti memasak di kawasan penyembelihan adalah tidak dibenarkan manakala agihan tidak dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid atau  surau. Agihan akan dibuat kepada pihak-pihak berkenaan melalui cara penghantaran sahaja ke rumah atau kediaman masing-masing,”katanya.

Katanya, pematuhan pada SOP MKN dan KKM serta Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *