Fasiliti Masjid Daerah Seluruh Sabah Sedia Digunakan Sebagai PPV

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri sedia membenarkan fasiliti masjid-masjid daerah di seluruh Sabah digunakan sebagai lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kesediaan itu adalah khusus kepada petugas masjid seperti imam dan jawatankuasanya termasuk penduduk sekitar bagi memudahkan penerima hadir ke PPV berhampiran.

“Saya ingin menyatakan bahawa masjid-masjid khususnya masjid daerah sedia untuk dijadikan sebagai lokasi PPV untuk imam dan jawatankuasanya divaksin kerana mereka ini adalah barisan hadapan yang akan bertugas pada setiap hari selain memudahkan penduduk berhampiran hadir ke PPV menerima vaksin.

“Kita mempunyai masjid-masjid daerah yang selesa yang boleh dijadikan tempat sekiranya perlu untuk PPV.  Selain itu masjid-masjid juga sedia untuk dijadikan pusat sementara pemberian vaksin atau secara ‘mobile’ dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan pemberian vaksin kepada lebih 300 imam masjid sekitar Kota Kinabalu di PPV Wisma Wanita disini pagi tadi.

Mohd Arifin berkata,  sehingga kini terdapat lebih 10,000 ahli jawatankuasa masjid di seluruh Sabah membabitkan lebih 1,000 masjid dan surau.

“Saya berharap mereka ini dapat diberikan vaksin dengan segera kerana ia penting dimana mereka akan melaksanakan aktiviti di masjid selain berhadapan dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.

“Kita juga telah meminta program seumpama ini dilaksanakan seluruh daerah dan pada hari ini adalah bukti bahawa kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peluang kepada semua khususnya imam-imam dan jawatankuasanya untuk menerima vaksin,” katanya.

Tambahnya, selain petugas masjid, keutamaan juga perlu diberikan kepada jawatankuasa pengurusan gereja dan rumah-rumah ibadat yang lain di negeri ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *