HomeIsu tempatanGuru Sabah Garap Projek 'Dau Dau' Tingkat Penguasaan Bahasa Inggeris Pelajar

Guru Sabah Garap Projek ‘Dau Dau’ Tingkat Penguasaan Bahasa Inggeris Pelajar

Read Time:2 Minute, 4 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU — Dua guru bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional (KV) Keningau menggarap projek ‘Dau Dau’, bagi menarik minta pelajar untuk membudayakan sekali gus mengapresiasi seni dan sastera tempatan, melalui pendidikan bahasa Inggeris.

Projek ‘Dau Dau’ yang bermaksud ‘dulu-dulu’ dalam bahasa Bajau, dibangunkan oleh Dr Sirhajwan Idek dan Nurazilah Othman pada Mei lepas, menggabungkan tiga bidang seni iaitu seni penulisan cerpen dan puisi, seni persembahan seperti tarian dan teater, serta seni visual merangkumi lukisan dan media.

Sirhajwan berkata melalui projek tersebut, pelajar akan diberikan panduan cara menghasilkan bahan dalam tiga bidang seni itu melalui penghantar bahasa Inggeris, yang mana cara itu dapat mengasah bakat seni pelajar selain meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Beliau berkata, selain mengangkat budaya etnik khususnya suku kaum di Sabah sebagai tema utama, projek ‘Dau Dau’ turut menyentuh isu semasa lain seperti pandemik, keamanan dunia dan kesihatan mental.

“Projek ini bertujuan menghidupkan seni dalam pendidikan kerana ia dilihat semakin dilupakan, ini penting dalam melahirkan generasi muda pertahankan warisan budaya, di samping ketengahkan bakat pelajar dalam seni penulisan dan persembahan bahasa Inggeris,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sirhajwan berkata, projek itu juga sekali gus meningkatkan persefahaman antara rakyat pelbagai latar belakang di Sabah, selain menyemarakkan perasaan bangga terhadap identiti budaya masing-masing.

“Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa penghantar dan ia diterapkan dalam setiap aktiviti. Melalui projek ini ramai pelajar kami berjaya terbitkan karya mereka dalam majalah sastera, membuat persembahan tarian, cerita dan puisi di festival seni, serta memenangi beberapa pertandingan penulisan,” katanya.

Sementara itu Sirhajwan berkata, beliau dan Nurazilah merancang untuk membuat modul Pengajaran dan Pembelajaran merangkumi teknik seni penulisan dan persembahan untuk guru-guru bahasa Inggeris khususnya di Sabah, selain mengendalikan kursus dalam talian secara bersiri bermula September depan.

“Ia bagi menggalakkan guru-guru untuk terus meneroka bidang seni sebagai satu alternatif dalam pendidikan bahasa Inggeris, yang mampu memupuk minat seterusnya meningkatkan motivasi pelajar menggunakan bahasa antarabangsa itu secara kreatif,” katanya.

Projek ‘Dau Dau’ juga telah terpilih sebagai pemenang anugerah antarabangsa ‘Simon Greenall’, yang diumumkan menerusi laman sesawang Macmillan Education; https://www.macmillanenglish.com/sgaward pada 9 Julai lepas.

Anugerah Simon Greenall, merupakan anjuran Macmillan Education dan International House, yang diwujudkan sebagai penghormatan kepada tokoh pendidikan bahasa Inggeris Simon Greenall, dengan memberi geran wang ringgit kepada projek bahasa Inggeris, yang mampu memupuk semangat komuniti.

Dengan kemenangan tersebut, Sirhajwan dan Nurazilah menerima geran berjumlah GBP1,500 (RM 8,768) bagi mengembangkan projek seni mereka itu.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

80 pekebun kecil LKM sertai Kursus Teknologi Pasca Tuai Koko

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular