SUKAN : Seni Mempertahankan Diri Dapat Lahirkan Insan Lebih Berdisiplin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

TUARAN: Penglibatan golongan muda dalam aktiviti seni mempertahankan diri dapat melahirkan insan yang lebih berdisiplin, penyabar, sihat serta mempunyai keyakinan yang tinggi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, aktiviti itu juga mampu membina jati diri  golongan muda selain meningkatkan tahap kecergasan serta kecerdasan mereka.

“Selain pertahanan diri, aktiviti seni ini juga boleh dijadikan sebagai modal bagi membina karier pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taekwondo Kuala Lumpur International Online 2021 oleh Kelab Master Barry Voon (MBV) Taekwondo Sabah, disini kelmarin.

Jahid berkata, dengan penyertaan ahli kelab berkenaan, sekurang-kurangnya mereka telah mengisi masa terluang dengan aktiviti yang lebih berfaedah.

“Jadi, gunakan peluang yang ada ini untuk menambah, membina kemahiran, dan ketahanan diri masing-masing, dengan mengambil peluang atas kemahiran yang diberi oleh para jurulatih berpengalaman ini,” katanya.

Untuk rekod, tiga jurulatih yang bertanggungjawab melatih dan mendidik para peserta terlibat ialah bekas atlet dikenali di peringkat Kebangsaan dan negeri Sabah, iaitu Josephine Kung, Joseph Kung, dan Josephinna Kung.

“Kamu beruntung kerana mendapat jurulatih yang telah banyak melatih atlet sehingga mencapai taraf antarabangsa seperti mereka,” katanya.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, pujian dan penghargaan harus diberi kepada para pembimbing kerana telah memikirkan modul latihan dan bimbingan terbaik kepada semua ahli mereka sepanjang musim pandemik ini.

“Tujuannya adalah untuk memastikan bakat-bakat anda semua dalam seni mempertahankan diri mampu diasah dan diterokai sehingga mencapai tahap tertinggi.

“Banyak bakat muda yang saya lihat sangat berpotensi untuk digilap bakat mereka dalam Taekwondo, tentunya ini sesuatu yang sangat baik kepada daerah Tuaran, khususnya di negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, jurulatih kelab MBV, Josephine Kung, berkata, hanya kelab mereka, MBV Taekwondo Sabah yang telah menyertai kejohanan berkenaan sekaligus mewakili negeri Sabah dan negara Malaysia.

Pertandingan sebenar akan bermula pada 24 hingga 25 Julai, yang menyaksikan disiplin ‘Poomsae’, ‘Speed Kick’, dan ‘Speed Punch’ dipertandingkan.

Pada program itu juga, Jahid turut meluluskan permohonan pakaian yang dipohon oleh pihak penganjur dan menyerahkan sumbangan peribadi beliau kepada kelab berkenaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *