COVID-19 : 442 Kenderaan Diarah Berpatah Balik, Sabah Rekod 497 Kes Baharu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 442 kenderaan diarah berpatah balik ketika cuba melintasi Sekatan Jalan Raya (SJR) tanpa dokumen kebenaran untuk merentas daerah di seluruh negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 35,419 buah kenderaan yang diperiksa di 133 SJR yang beroperasi 24 jam sehari.

“Polis turut mengeluarkan 53 kompaun atas pelbagai kesalahan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua yang dikesan seluruh Sabah.

“Daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan, kesalahan tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan antara yang tertinggi iaitu seramai 21 orang; tidak memakai pelitup muka (18 orang); membawa penumpang berlebihan (8 orang) dan gagal mendaftar masuk premis (6 orang),” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, ia melibatkan 58 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 27 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.  Hasil pemeriksaan tiada tangkapan dibuat.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, Sabah mencatat sedikit peningkatan kes positif COVID-19 iaitu 497 kes hari ini berbanding 474 kes semalam.

Katanya, penyumbang utama kes hari ini adalah daripada saringan kontak rapat iaitu sebanyak 240 kes atau 48.3 peratus daripada kumulatif kes harian di Sabah, diikuti dengan 86 kes atau 17.3 peratus daripada sarıngan bergejala.

“Saringan bersasar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mencatatkan 35 kes atau 7.0 peratus di mana 24 kes dari jumlah itu direkodkan tertinggi di daerah Sandakan.

“Kluster Penjara menyumbang 17 kes baharu dengan pecahan 11 kes daripada Penjara Kepayan dan enam kes daripada Penjara Tawau,” katanya.

Katanya, sebanyak dua kluster baru dilaporkan hari ini iaitu Kluster Kebun Lama Papar mencatat 24 kes dan Kluster Kuril Kinabatangan 10 kes yang menyumbang 6.8 peratus  dari jumlah kes hari ini.

“Keseluruhan kluster sedia ada menyumbang kepada 84 kes atau 16.9 peratus dari jumlah kes negeri Sabah.  

“Kluster Kebun Lama Papar adalah sebuah kluster yang tercetus ekoran aktiviti majlis pengebumian yang berlangsung 6 Julai lalu dan dihadiri oleh 60 orang merangkumi 10 keluarga serentak dengan majlis Tahlil Arwah selama lima hari,” katanya.

Tambahnya, majlis pengebumian di Kampung Kabang, Papar dan Majlis Tahlil Arwah berlangsung di Kampung Nagapas, Papar.

INFO RINGKAS

  1. 240 Kes adalah daripada Saringan Kontak Rapat
  2. 118 Kes adalah daripada Saringan Kluster
  3. 86 Kes adalah daripada Saringan Bergejala
  4. 35 Kes adalah daripada Saringan Bersasar
  5. 18 Kes adalah daripada Saringan lain-lain kes

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *