Kit Ujian Kendiri COVID-19 Ditetapkan RM19.90

Read Time:2 Minute, 29 Second

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga kawalan kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, berkuat kuasa Ahad ini. 

Menerusi kenyataan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, harga borong kit ujian pula dijual pada harga maksimum RM16.

“Permintaan terhadap kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID-19. 

“Berikutan itu KPDNHEP sudah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak.

KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak rungutan serta desakan yang menyifatkan harga bagi satu set kit ujian kendiri RM35 hingga RM39.90 adalah terlalu mahal.

Dalam pada itu, Alexander dan Khairy berkata, penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian kendiri itu dibuat berdasarkan maklumat yang diterima ketika pemantauan harga di semua premis dan farmasi.

“Selain itu, kita turut menerima maklum balas daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit dan persatuan farmasi barangan berkenaan. 

“Harga kit ujian kendiri yang dikawal itu adalah satu peranti diluluskan secara bersyarat oleh MDA bawah KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau calitan (swab) hidung. 

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini serta tanda sokongan KKM, pihak KPDNHEP membuat kawalan harga ke atas kit ujian berkenaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. 

Katanya, penentuan harga maksimum borong dan runcit terhadap kit ujian kendiri itu dibuat disifatkan sebagai mengikut kewajaran dan kesesuaian penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga. 

Sekiranya terdapat peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, tindakan akan diambil bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti. 

“Iaitu bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum bagi individu, mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau keduanya atau dikompaun sehingga RM50,000. 

“Bagi kesalahan yang dibuat oleh pihak syarikat pula, syarikat itu boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Dalam pada itu, pihak KPDNHEP turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan. 

“Selain itu, pengguna yang mendapati ada peniaga tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim ini, mereka boleh menyalurkan aduan di portal atau emelkan ke [email protected] atau WhatsApp di talian 019-2794317 atau menggunakan aplikasi di telefon pintar Ez ADU,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *