Kadar Dividen SPKP & DPK Diumum Sebanyak 8 Peratus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 2 Second

PUTRAJAYA : Agihan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi tahun kewangan berakhir 2020 adalah sebanyak lapan peratus (8%).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, DPK mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.05 juta dengan keseluruhan nilai agihan dividen berjumlah RM7.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

“DPK mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten dengan purata dividen sebenar sebanyak 8.8% bagi lima tahun secara berturut-turut semenjak tahun 2016 serta mencatatkan keuntungan konsisten setiap tahun berkenaan dengan margin untung bersih melebihi 80%.

“Pihak kementerian mengucapkan tahniah kepada NAFAS atas prestasi cemerlang bagi tahun 2020 kerana dapat memberikan kadar dividen yang kompetitif kepada para pelabur SPKP, DPK.

“Meskipun tahun 2020 merupakan tahun yang sukar berikutan ketidaktentuan pasaran akibat penularan pandemik COVID-19, NAFAS melalui DPK telah terus fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli-ahlinya,” katanya.

Dr Ronald berkata demikian pada Majlis Pengumuman Agihan Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK), NAFAS Tahun 2020 di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Putrajaya, disini hari ini.

Katanya, ahli-ahli pertubuhan peladang di seluruh negara digalakkan untuk melabur bersama SPKP, DPK bagi menikmati pelbagai manfaat tambahan dalam membantu meningkatkan sumber ekonomi warga tani sekaligus mengukuhkan sektor pertanian negara secara keseluruhannya.

“Pada masa yang sama, pertubuhan peladang juga digalakkan untuk menambah jumlah pelaburan sedia ada yang dapat memberikan manfaat pulangan terbaik untuk seluruh ahlinya.

“Tujuan penubuhan DPK secara umumnya adalah bagi menyediakan perkhidmatan kewangan yang kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usahasama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang.

“Ia melibatkan NAFAS, 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir 1 juta ahli peladang berdaftar di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, DPK telah membiayai beberapa projek stesen minyak antaranya Petronas dan Petron selain turut membiayai projek-projek tanaman semula ladang sawit, tanaman fertigasi, pembelian jentera pertanian serta modal pusingan ternakan ayam.

Katanya, DPK sejak dilancarkan pada 17 Disember 2012 sehingga Jun 2021 telah menguruskan aset lebih RM210 juta.

“NAFAS melalui DPK sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi untuk menjadi lebih kukuh dengan mempelbagaikan aktiviti pelaburan dengan alternatif pelaburan yang berisiko rendah dan sederhana rendah serta meneroka produk pembiayaan baharu. Manfaat dari perkara itu, para pelabur akan berpeluang untuk menikmati dividen yang lebih konsisten setiap tahun,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *