Penganjuran Bacaan Yasin & Takzirah Usaha Ajak Umat Islam Berdoa Agar COVID-19 terhapus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

BEAUFORT : Penganjuran program bacaan yasin dan tazkirah merupakan salah satu usaha melalui pendekatan vaksin ketuhanan bagi mengajak rakyat khususnya umat Islam untuk berdoa agar wabak COVID-19 terhapus.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Aliasnih berkata, program seumpama itu juga berupaya membentuk nilai rasa syukur ke hadrat ilahi atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini.

“Sudah hampir dua tahun kita menghadapi serangan pandemik COVID-19 ini, sejujurnya kita semua tidak pernah menduga dan membayangkan keadaan ini telah menyebabkan krisis kesihatan yang disusuli dengan krisis ekonomi yang begitu mencabar kesejahteraan hidup.

“Kita telah melalui pelbagai fasa perintah kawalan pergerakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP); PKP Pemulihan; PKP Diperketatkan; PKP Bersyarat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bacaan Yasin dan Tazkirah Sempena Bulan Kebangsaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Klias secara maya disini hari ini.

Hadir sama, Pengetua SMK Kota Klias Harith Ideris; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Jandih Ansar.

Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias berkata, Sabah yang kini berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) diyakini mampu berpindah dan beralih ke fasa seterusnya iaitu fasa ketiga dan keempat agar rakyat dapat menjalani kehidupan harian dalam norma baharu.

“Harapan saya secara peribadi semoga kita semua dapat bersabar dan bertabah dalam menempuhi ujian ini dan sekiranya wabak ini adalah disebabkan dosa-dosa dan kelalaian kita semoga Allah mengurniakan keampunan dan perlindungan kepada kita semua.

“Dalam fasa ini mungkin inilah masanya kita menambah amal ibadat selain mengikut arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan seperti tidak keluar rumah jika ada keperluan sahaja dan pastikan kita semua telah menerima suntikan vaksin yang lengkap. Lindungi diri lindungi semua,” katanya.

Dalam pada itu, Isnin turut merakamkan penghargaan kepada warga sekolah yang berjaya melaksanakan program yang sangat bermakna pada kali ini.

“Tahniah juga kepada semua ibu bapa yang sentiasa menyokong program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ini menunjukkan keperihatinan ibu bapa terhadap kecemerlangan anak-anak di sekolah ini.

“Tahniah juga diucapkan kepada murid-murid yang turut sama terlibat dalam program hari ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *