Masyarakat Main Peranan Tingkat Kesedaran Menderma Darah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

BEAUFORT: Masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan kesedaran menderma darah bagi membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di Hospital khususnya ketika situasi pandemik COVID-19.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Aliasnih berkata, kesedaran itu juga mampu menghasilkan rantaian penderma darah berulang yang akan memberi kesan positif kepada jumlah bekalan yang digunakan untuk rawatan pesakit.

“Penderma darah juga akan mendapat kesan positif kepada kesihatan mereka jika menderma darah secara ulangan sehingga empat kali dalam setahun.

“Mereka akan menjalani proses saringan sebelum menderma darah dan secara langsung akan tahu status kesihatan terkini mereka dengan hanya perlu hadir ke program-program derma darah yang diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kempen Darah Setitik Harapan Buat Mereka anjuran Jawatankuasa Masjid Ar-Rayyan Batu 60 bersama Klinik Subha disini semalam.

Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias berkata, melalui program itu juga masyarakat mampu memperoleh manfaat tambahan dengan mengetahui beberapa lagi kaunter infomasi yang turut dibuka.

“Pada program ini, masyarakat tidak hanya tertumpu kepada derma darah namun mereka mendapat manfaat tambahan dimana beberapa kaunter lain turut dibuka antaranya kaunter Pengikrar Pendermaan Organ, kaunter Kempen Cara Hidup Sihat serta pemaknan sihat selain kaunter pemerikaan mata percuma.

“Mereka yang hadir juga dapat berhubung terus dengan pegawai-pegawai kesihatan tanpa perlu pergi ke hospital, jadi saya gesa masyarakat untuk ambil peluang jika ada program seperti ini diadakan,” katanya.

Program itu turut mendapat kerjasama dan sokongan Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort, Pejabat ADUN N.32 Klias, Sukarelawan Tabung Darah Hospital Beaufort dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia cawangan Beaufort.

Hadir sama Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun, Ketua Balai Polis Beaufort, ASP Aliamat Hasim mewakili Ketua Polis Daerah Beaufort, Pejabat Parol Daerah Beaufort, KIP Ag Roni bin Ag Abdullah, Ustaz Naim Hj Miki, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar-Rayyan Kampung Batu 60 merangkap pengerusi pelaksana Kempen Derma Darah tersebut dan Pegawai Perubatan Hospital Beaufort, Dr.Chong Kok Yan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *