UMS – DBKK Anjur Kursus Pembangunan Pakej Pelancongan dan e-Pemasaran Kepada Komuniti Kampung Darau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Jabatan Pembangunan Pelancongan Bandar, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), menganjurkan Kursus Pembangunan Pakej Pelancongan dan e-Pemasaran kepada komuniti Kampung Darau, Inanam baru-baru ini.

Perasmiannya disempurnakan Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan Bandaraya, DBKK Fauziahton Ag. Samad.

Dalam ucapannya Fauziahton berkata, kursus itu sebahagian daripada inisiatif DBKK ke arah pembangunan kapasiti komuniti dalam mempersiapkan mereka untuk memulakan aktiviti pelancongan.

“Kampung Darau didapati telah menjadi tumpuan orang ramai sebagai sebuah destinasi pelancongan berasaskan komuniti semasa pihak DBKK membuat Audit Potensi Produk Pelancongan secara rasmi pada tahun lalu.

“Oleh yang demikian, sebanyak enam lagi kursus akan diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang melalui kerjasama antara DBKK dan UMS bagi menyokong pembangunan pelancongan berasaskan komuniti di sini,” katanya.

Pada kursus tersebut, seramai dua pensyarah UMS telah dijemput mengongsikan pengetahuan dan pengalaman kepada 32 peserta yang hadir.

Ketua Program Pengurusan Pelancongan FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul memberi tunjuk ajar kepada peserta tatacara mengembangkan pakej pelancongan serta membuat e-pemasaran berdasarkan pelan pembangunan program pelancongan mereka.

Beliau memberi bimbingan dengan mengenal pasti dan membincangkan potensi tarikan pelancongan, aktiviti, akses, penginapan, dan kemudahan di kampung itu..

Seorang lagi penceramah jemputan, Dr. Kelvin Yong, memberi taklimat tentang medium e-pemasaran secara berkesan yang bersesuaian dengan pelancongan berasaskan komuniti. Beliau turut memberi tunjuk ajar teknik penggunaan media sosial bagi mengiklankan produk pelancongan ke pasaran pada masa hadapan.

Kursus sehari itu menerima reaksi positif daripada komuniti Kampung Darau.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Anan Usoh berkata, pelbagai input dan idea telah diperoleh oleh para peserta termasuk mengenal pasti produk pelancongan dan kraf tangan sedia ada yang memerlukan lebih banyak inovasi dan promosi.

“Selain itu, ahli komuniti juga memperoleh pengetahuan baharu mengenai kaedah berkesan untuk e-pemasaran memandangkan dunia hari ini hanya berada di hujung jari sahaja.

“Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok adalah sangat berguna untuk mempromosikan Kampung Darau sebagai sebuah destinasi pelancongan akan datang.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat dalam kursus Kampung Darau iaitu pihak DBKK dan UMS.

“Tidak lupa juga setinggi penghargaan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dan semua peserta yang hadir,” katanya.

Sementara itu, Awangku Hassanal dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa FPEP UMS sebelum ini juga telah bekerjasama dengan DBKK dalam membangunkan pelancongan berasaskan komuniti bagi kawasan pinggir Bandar Raya Kota Kinabalu, khususnya Kampung Kobuni di Inanam.

“Justeru, saya berharap agar kursus kali ini juga dapat membantu komuniti Kampung Darau menjadi lebih yakin dalam menjalankan aktiviti pelancongan di kampung mereka.

“Kampung ini mempunyai potensi yang besar untuk menjadi satu destinasi pelancongan berasaskan komuniti kerana mempunyai sungai yang menarik, bakau dan hidupan liar seperti memerang dan beberapa jenis burung.

“Budaya masyarakat tempatan juga amat menarik terutamanya pasar dagangan barter dan gastronomi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *