UMS-Yayasan Sabah Jalin Kerjasama Penyelidikan Tangani Isu Perubahan Iklim dan Spesis ikonik tempatan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneroka potensi penyelidikan dan pemindahan ilmu konservasi bersama Yayasan Sabah melalui kerjasama mewujudkan kepakaran tempatan dalam bidang Ekologi berkaitan perubahan iklim, penyerapan/sekuestrasi dan penyimpanan karbon dan Nic Kajian Mengenai Spesies Ikonik Tempatan (Ecological Function on climate change in regards to carbon sequestration and stock dan Niche Studies on Local Iconic Species).

Dalam sesi taklimat kepada UMS, Pengurus Kumpulan Pengurusan Kawasan Konservasi dan Alam Sekitar (CEMD) Yayasan Sabah (YS) Dr. Waidi Sinun berkata, kebanyakan kepakaran yang diperolehi dalam bidang ini adalah daripada kepakaran luar yang banyak menjalankan penyelidikan di lokasi konservasi Sabah dan oleh itu, telah tiba masanya Sabah mempunyai pakar tempatan dalam bidang ini agar ianya dapat menjadi pusat rujukan di seluruh dunia.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS dan Yayasan Sabah juga bercadang untuk mengembangkan jalinan Kerjasama yang telah lama terjalin dengan melahirkan lebih ramai pakar tempatan dalam bidang dengan menyediakan peluang pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran.

“Ia bagi melahirkan pakar tempatan yang boleh memberi implikasi dalam menangani isu-isu alam sekitar seperti Fungsi Ekologi berkaitan perubahan iklim, penyerapan/sekuestrasi dan penyimpanan karbon jangka panjang dan Nic Kajian Mengenai Spesies Ikonik Tempatan seperti Orang Utan, termasuklah mewujudkan sekali gus mentransformasikan makmal yang bersesuaian bagi tujuan pengekstrakan tumbuhan semula jadi untuk dianalisis.

“Impak daripada kerjasama ini, kedua pihak juga bercadang menerbitkan buku berkaitan dengan Herba Perubatan (Medicinal Herbal) dari kawasan Ulu Kinabatangan yang bakal menjadi sumber rujukan setempat dan seluruh dunia,” katanya.

Taufiq berkata demikian semasa sesi lawatan kerja UMS selama tiga hari ke Imbak Kanyon, Kinabatangan baru-baru ini.

Hadir sama Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri.

Dr. Waidi dalam taklimatnya memaklumkan bahawa kebanyakan kepakaran yang diperolehi CEMD Yayasan Sabah sebelum ini adalah daripada pakar-pakar luar negara yang pernah menjalankan penyelidikan di kawasan-kawasan konservasi Yayasan Sabah seperti Kawasan Konservasi Danum Valley, Kawasan Konservasi Maliau Basin dan Kawasan Konservasi Imbak Kanyon.

“Oleh itu, usahasama antara UMS dan Yayasan Sabah adalah tepat pada masanya bagi melahirkan pakar tempatan dalam bidang ini sekali gus boleh dijadikan sebagai pusat rujukan di seluruh dunia kelak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Coswald menyatakan bahawa jalinan kolaborasi UMS dengan Yayasan Sabah ini turut membuka ruang dan peluang kepada pembangunan komuniti setempat di bawah Pusat Kelestarian dan Libatsama Masyarakat (PKLM), dan Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri (PKLI) UMS.

“Ia meliputi program-program kelestarian masyarakat melalui aktiviti pemindahan dan asimilasi ilmu serta cadangan mewujudkan pusat pengumpulan bekalan dan barangan asas yang bersesuaian.

“Ini juga selaras dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi agar semua universiti awam merealisasikan pendekatan University for Society (U4S),” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah PKLM UMS, Dr. Elia Godoong; Pengurus Kanan CEMD Yayasan Sabah, Dr. Hamzah Tangki; dan Pemangku Pengurus Kawasan Konservasi Imbak Kanyon (ICCA), Pius Pansang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *