UMS Anjur Persidangan Pascasiswazah Antarabangsa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mengadakan persidangan antarabangsa 5th International Postgraduate Conference On Biotechnology (IPCB) 2021 pada 8-10 Disember depan.

Persidangan itu buat julung kalinya diadakan secara hibrid bersama-sama tiga buah institut penyelidikan di UMS iaitu Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dan Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB).

Pengerusi penganjur IPCB 2021, Prof. Madya Ts. Dr. Sitti Raehanah Mohd Shaleh berkata,  ia juga dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Soka University, Jepun; dan Institut Teknologi Sepuluh Nopember, Indonesia.

“Persidangan ini antara lain bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama penyelidikan dalam kalangan penyelidik muda.

“Ia juga menggalakkan kerjasama pelbagai hala dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sekali gus memajukan generasi sains akan datang dan memacu pembangunan mampan sumber asli,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut Sitti Raehanah, persidangan itu juga akan menampilkan Profesor Patrick Sorgeloos dari Ghent University, Belgium sebagai penyampai ucaptama.

“Turut menjadi pengucaptama ialah Profesor Dr. Henry Bernard dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS.

“Seramai 68 peserta telah mengesahkan penyertaan dan akan mengambil bahagian dalam pembentangan secara lisan dan melalui poster penyelidikan,” katanya lagi.

Untuk rekod, IPCB 2021 diadakan dengan tema kajian sumber asli dan ekosistem; pengurusan alam sekitar; teknologi dan aplikasi bio; dan eko-kejuruteraan.

Persidangan selama tiga hari itu turut dipengerusikan bersama Pengarah IPB UMS Prof. Dr. Lee Ping Chin, dan Pengarah IBTP UMS,  Prof. Madya Dr. Monica Suleiman.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *