HomePolitikPBRS Sokong Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti, Had Tempoh Jawatan Perdana...

PBRS Sokong Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti, Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong cadangan pelaksanaan undang-undang anti lompat parti dan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Timbalan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu akan menjadikan politik negara akan lebih matang dan berintegriti.

“Menghadkan tempoh perkhidmatan akan memberikan tekanan yang lebih kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan dasar-dasar negara yang lebih berkesan serta sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang lebih efisyen kepada rakyat.

“PBRS menggesa agar akta ini dibentang dan diluluskan di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke 15 untuk meningkatkan integriti demokrasi negara,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Tri-Tahunan PBRS baru-baru ini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, perwakilan yang hadir pada mesyuarat itu turut bersetuju agar amalan tersebut turut dikuatkasakan di peringkat negeri Sabah dengan menghadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

Katanya, sebagai sebuah parti yang menyelami denyut nadi rakyat di akar umbi, PBRS akan terus memperjuangkan usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan pemerkasaan ekonomi khususnya bagi golongan belia.

“Dalam hal ini PBRS akan terus perjuangankan isu pendidikan, keusahawanan, ekonomi belia serta bidang teknikal dan vokasional untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi untuk penduduk tempatan khususnya golongan belia.

“PBRS akan terus setia sebagai parti gabungan Barisan Nasional (BN) yang terbukti pilihan yang terbaik untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya .

Katanya, kestabilan politik amat penting dan lebih diperlukan pada masa negara sedang berhadapan dengan ancaman kesihatan dan cabaran ekonomi yang tidak menentu.

Dalam pada itu, Arthur berkata, PBRS menolak sekeras-kerasnya cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mewujudkan Kad Warga Asing sebagai dokumen pengenalan diri untuk golongan Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah.

Katanya, tindakan undang-undang yang tegas harus diambil ke atas PTI yang tidak mempunyai dokumen yang sah dan bukannya diberi Kad Warga Asing kerana ini seolah-oleh memberi pengiktirafan kepada mereka.

“Bagi seseorang warga asing, adalah mencukupi dengan passport atau pas kerja sebagai dokumen pengenalan diri.

“Kami akan sentiasa mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah. PBRS bersama dengan suara rakyat Sabah akan terus menggesa Kerajaan untuk bertindak tegas dalam menyelesaikan isu PTI yang sudah sekian lama membelenggu negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

Kemelut MPN Sabah Akan Diputuskan Dalam Jangka Masa Terdekat – Anwar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya