COVID-19 : KK Kembali Catat Kes Empat Angka

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Kota Kinabalu kembali mencatatkan kes empat angka iaitu sebanyak 1,350 kes daripada 2,717 kes keseluruhan di seluruh Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, angka itu adalah 49.68 peratus atau hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes baharu negeri Sabah.

“Bagaimanapun sebahagian besar daripada jumlah kes di Kota Kinabalu merupakan kes-kes tertunggak (backlogs) yang baru didaftarkan.

“Sebagai misalan, 556 kes yang dicatatkan di Kota Kinabalu pada hari ini adalah kes-kes tertunggak melebihi sembilan hari,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, hampir 84 peratus kes baharu di Kota Kinabalu merupakan kes-kes jangkitan sporadik dalam komuniti.

Katanya, jangkitan sporadik semakin meninggi, iaitu sebanyak 71.18 peratus daripada jumlah jangkitan.

“Peratusan kes bergejala melalui jangkitan sporadik hari ini adalah yang tertinggi yang pernah direkodkan di Negeri Sabah.

“Sebanyak 23 daripada 27 daerah juga memperlihat trend yang sama, dimana kes sporadik adalah kes terbanyak di daerah-daerah berkenaan.

“Atas sebab inilah kita selalu menyeru rakyat agar mematuhi semua prosedur standard operasi (SOP) sepanjang masa sebagai benteng perlindungan daripada ancaman jangkitan virus COVID-19,” katanya.

Sementara itu, lima daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Penampang 184 kes, Tuaran 131 kes, Papar 120 kes, Keningau 113 kes dan Beaufort 108 kes.

Katanya, 18 daerah lagi mencatatkan kes dua angka dan tiga daerah iaitu Semporna, Kalabakan dan Telupid masing-masing mencatatkan kes satu angka.

“Sebanyak 2,690 atau 99.00 peratus daripada 2,717 kes-kes baharu hari ini adalah dalam Kategori satu dan dua, empat kes dalam Kategori tiga, 17 kes dalam Kategori empat dan enam kes dalam Kategori lima,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, PICKids Sabah telah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 53,371  kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang layak divaksin.

Katanya, sebanyak 333 kes hari ini melibatkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum divaksin, dengan 172 daripadanya merupakan kanak-kanak yang belum layak mendapat vaksin (bawah umur 5 tahun).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *