HomeSukanSabah FC Manfaat Sepenuhnya Sepakan Percuma, Sudut

Sabah FC Manfaat Sepenuhnya Sepakan Percuma, Sudut

Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU : Sepakan sudut dan sepakan percuma berjaya dimanfaatkan sepenuhnya Sabah FC untuk mencipta kemenangan selesa menewaskan Petaling Jaya (PJ) City FC 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi.

Ini selepas semua gol yang dihasilkan Sabah FC malam tadi dijaringkan menerusi sepakan percuma pada minit ke-16 dan minit ke-47 serta sepakan sudut pada minit ke-35.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, para pemain mempunyai kelebihan untuk memanfaatkan kedua-dua sepakan berkenaan selain mahu ia diteruskan dalam perlawanan akan datang.

“Tentu sekali daripada segi keputusan ia merupakan perkara yang paling penting.  Daripada segi persembahan kita bermain agak baik kalau dibandingkan ketika bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) terutama dengan penyudah yang lebih baik kali ini.

“Walaupun daripada sepakan sudut ataupun sepakan percuma tapi ini merupakan senjata di mana pasti akan membantu kita pada perlawanan-perlawanan yang akan datang.

“Yang penting di sini pemain menunjukkan kesungguhan dan mereka tahu walaupun mereka bukan pemain tempatan yang kita hebohkan tetapi mereka bermain untuk pasukan Sabah,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan itu, Sabah FC berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama yang berpunca daripada sepakan percuma dan sudut pada minit ke-16 dan ke-35 manakala gol ketiga pada minit ke-47 juga melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti lawan.

Pasukan pelawat pula berjaya menjaringkan gol tunggal melalui penyerangnya, S Kumaahran pada minit ke-45 selepas menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat ketika pertahanan Sabah agak longgar.

Kemenangan itu membolehkan Sabah FC mengutip tiga mata penuh di laman sendiri selepas kecewa dengan kekalahan 0-1 di tangan NSFC Jumaat lalu di Stadium Likas.

Sementara itu, Kim Swee berkata, masih terlalu awal untuk menilai prestasi kesemua pemain importnya pada musim ini selepas mengharungi dua perlawanan Liga Super.

“Bagi saya setiap pemain bukan saja Neto (Pessoa); bukan Jackson (De Souza); Taiki (Kagayama) mahupun Park (Taesu) dan Saddil (Ramdani) mereka harus diberi masa.

“Pemain-pemain ini hanya dikumpulkan selama hanya dua bulan walaupun mereka pemain-pemain yang berkualiti, sesuatu pasukan memerlukan masa untuk dibentuk dan saya percaya pasukan ini akan bertambah baik daripada satu masa ke satu masa hanya masa akan menentukan.

“Tetapi untuk mengkritik pemain selepas satu ataupun dua perlawanan oleh kalangan orang-orang tertentu saya rasa itu tidak adil..mereka harus diberi peluang,” katanya.

Sabah FC musim ini dibarisi lima pemain import iaitu Neto Pesoa dan Jackson De Souza dari Brazil; Taiki Kagayama dari Jepun; Park Taesu (Korea Selatan) dan Saddil Ramdani dari Indonesia.

Kim Swee turut menekankan posisi pemain dalam pasukannya tidak semestinya sama dalam setiap perlawanan, sebaliknya bergantung siapa lawan yang akan dihadapi anak buahnya.

Katanya, beberapa pemain seperti Taiki, Tommy Mawat, Nazirul Naim dan Ummareng Bacok boleh bermain beberapa posisi yang memberi kelebihan kepada pasukan dalam menghadapi lawan yang berlainan.

RELATED ARTICLES
Sukan

Pasukan futsal lelaki Sabah sasar juara pada Sukan MAKSAK 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya