HomeUtamaDUN Sabah : Tuntutan Hasil Melalui Jawatankuasa Perundingan Bersama Akan Diteruskan

DUN Sabah : Tuntutan Hasil Melalui Jawatankuasa Perundingan Bersama Akan Diteruskan

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri akan meneruskan tuntutan hasil melalui Jawatankuasa Perundingan Bersama Untuk Meneliti Semula Pemberian Khas Kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, tuntutan melalui rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu telah membuahkan hasil dimana Sabah akan menerima kadar bayaran geran yang baharu mulai tahun ini.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada pasukan Kerajaan Negeri atas usaha dan kesungguhan dalam memperjuangkan hak negeri selama lima dekad.

“Saya berharap seluruh rakyat akan terus memberi sokongan kepada usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan hasil negeri ini agar pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan negeri dapat dipergiatkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di DUN Sabah disini hari ini.

Sementara itu, Tun Juhar turut bersyukur apabila Sabah berjaya melakar kejayaan signifikan dalam konteks kutipan hasil negeri yang direkodkan sebanyak RM5.449 bilion pada tahun lalu meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya pandemik COVID-19.

Katanya, buat pertama kalinya, kutipan hasil negeri ini menembusi angka RM5 bilion dan memecahkan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu berjumlah RM4.541 bilion pada tahun 2014.

“Di kesempatan ini, saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri dan kepimpinan Kerajaan Negeri kerana telah meletakkan pentadbiran di landasan yang kukuh sehingga berjaya membawa pencapaian yang cemerlang ini.

“Dalam usaha untuk mengekalkan kecemerlangan tersebut, saya menyeru kepada Pasukan Pemungut-Pemungut Hasil Negeri agar memainkan peranan yang lebih agresif dan bertungkus lumus bagi memastikan bukan sahaja sasaran hasil negeri ini bagi tahun 2022 dapat dicapai, malah dapat mengekalkan angka RM5 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Juhar berkata, Kerajaan Negeri telah menyediakan Rangka Tindakan Koridor Pembangunan Sabah 2.0 (2021-2030) untuk memajukan negeri ini melalui pembangunan mengikut koridor atau wilayah yang selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Rangka Tindakan berkenaan akan diperkasakan lagi.

“Ini termasuk inisiatif untuk menjadikan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebagai pusat perdagangan dan pintu masuk utama dalam wilayah BIMP-EAGA.

“Negeri Sabah juga tidak ingin ketinggalan dalam merebut peluang menerokai prospek ekonomi yang boleh dimajukan berikutan dengan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan,” katanya.

Katanya, Kerajaan akan memberikan penumpuan dalam membangunkan beberapa bandar Sempadan yang telah dikenal pasti terutamanya di daerah Tawau dan sekitarnya dengan mempergiatkan pembangunan dan aktiviti ekonomi sedia ada.

RELATED ARTICLES
Utama

Lapan mangsa tragedi helikopter TLDM terhempas selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya