Tidak mempunyai lesen bagang, sembilan warga tempatan ditahan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat telah menahan sembilan individu warga tempatan dalam satu operasi terhadap lima buah peranti menangkap ikan atau dikenali bagang ikan bilis di kawasan sekitar Tanjung Limau-Limauan Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, dalam operasi yang bermula jam 10 malam hingga 12 malam semalam, sebuah bot ronda Zon Maritim Kudat telah diatur gerak bagi membuat pemantauan serta pemeriksaan keatas bagang-bagang ikan bilis yang terdapat di sekitar perairan Tanjung Limau-Limauan, Kudat.

Katanya, sebanyak lima buah peranti bagang telah diperiksa di lokasi antara 0.2 hingga 0.5 batu nautika timur Tanjung Limau-Limauan Kudat.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sembilan individu warga tempatan berumur lingkungan antara 19 hingga 35 tahun telah ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen diri yang sah semasa diperiksa.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kesemua peranti bagang yang diperiksa dipercayai tidak mempunyai lesen bagang,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Boon berkata, semua yang ditahan dibawa masuk ke Jeti Marina Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat dibawah Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa Kad Pengenalan semasa diperiksa serta Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen Bagang.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088- 611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24jam,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *