Bayaran Pemberian Khas Untuk Sabah Dinaikkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 17 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan meningkatkan pembayaran pemberian khas kepada Sabah sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menerusi kenyataan bersama hari ini memaklumkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pada hari ini.

Katanya, kadar itu akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kenaikan yang dipersetujui bersama selepas kata sepakat dicapai mengenai kajian semula pemberian khas kepada negeri berkenaan yang merangkumi empat perkara utama.

Ini merupakan susulan beberapa perbincangan dan rundingan antara Kementerian Kewangan dan Kerajaan Sabah, dengan kebanyakan terma dipersetujui pada 14 Februari lalu.

Persetujuan ini juga merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan di buat adalah pada tahun 1969.

Menurut kenyataan itu, pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus berunding berhubung dengan tuntutan 40% daripada hasil Negeri Sabah dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan suatu kadar pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan negeri Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya suatu kadar baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula tahun 2022.

“Persetujuan ini adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri.

“Kerajaan Negeri Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. Pelaksanaan kajian semula pemberian khas ini termasuk hak kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut.

“Persetujuan yang berjaya dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada Kerajaan Negeri Sabah serta keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah terhadap peranan dan kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri Sabah.

“Penghargaan kami kepada delegasi Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Menteri Kewangan Malaysia dan delegasi Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Menteri Kewangan II Sabah dalam pencapaian bersejarah ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *