HomeIsu tempatanCacat penglihatan bukan halangan untuk genggam Ijazah

Cacat penglihatan bukan halangan untuk genggam Ijazah

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Pusat Pengurusan Orang Kurang Upaya (PPOKU) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditubuhkan pada Februari 2020 banyak memberi kelebihan selain turut membantu kepada perjalanan pengajian golongan OKU di universiti berkenaan.

Perkara itu turut diakui oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sosial dan Antropologi), Ahar Tabe yang berjaya menamatkan pengajian seterusnya bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23 di Dewan Canselori di sini semalam.

Bekas penuntut di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) itu mengakui telah melalui banyak cabaran sepanjang tempoh pengajian namun berjaya dilalui dengan baik meskipun mempunyai kekurangan pada dirinya.

Ahar yang mengalami cacat penglihatan sejak lahir berkata, kebajikan pelajar di universiti ini termasuk golongan OKU sentiasa terjaga selain tidak pernah dipinggirkan.

“UMS memang menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelajar termasuklah golongan seperti kami.  Antaranya seperti kemudahan pengangkutan dimana pihak universiti melalui PPOKU telah menyediakan van khas untuk pelajar OKU.

“Jika kami mahu ke kelas tertentu, kami akan menghubungi mereka dan akan dihantar terus ke kelas. Sepanjang pengajian disini, PPOKU bertanggungjawab untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pelajar OKU,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Anak kelima dari tujuh beradik itu berkata, meskipun berdepan cabaran dengan kecacatan yang dialami namun dia sentiasa mengambil inisiatif yang lebih kreatif khususnya dengan kemajuan teknologi maklumat yang semakin maju.

“Apa sahaja yang hendak kita lakukan, semuanya perlu menggunakan mata. Tapi kita kena kreatif untuk menghadapi semua cabaran yang datang dan dengan adanya kemajuan teknologi, ianya sedikit sebanyak turut membantu saya dalam kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahar turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya yang banyak memberi sokongan selain rakan-rakannya.

“Ibu bapa merupakan insan yang banyak menyokong kepada pengajian saya.  Rakan-rakan khususnya yang OKU juga banyak membantu dan mereka juga memahami tentang keadaan saya.

“Penghargaan sama juga saya ucapkan kepada para pensyarah yang banyak membantu saya sepanjang pengajian ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya