The Rhinos gagal lebur rekod tanpa kalah JDT FC

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC gagal meleburkan rekod tanpa kalah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 dalam saingan Liga Super 2022 di Stadium Likas malam tadi.

Pada perlawanan yang disaksikan lebih 30,000 penonton itu, pasukan pelawat lebih mendominasi serangan iaitu seawal minit ketujuh menerusi sepakan percuma Leandro Sebastian Velazquez namun berjaya ditolak keluar penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi Che Mat.

Meskipun dikawal ketat pertahanan tuan rumah, beberapa percubaan pasukan pelawat berjaya diselamatkan penjaga gol skuad Badak yang beraksi cemerlang menyelamat gawang Sabah FC.

Gerakan demi gerakan menyaksikan pasukan The Rhinos berjaya membolosi gawang JDT FC apabila pemain import tuan rumah Park Tae Sue berjaya menjaringkan gol pertama hasil hantaran Jose Embalo pada minit ke-19.

Tujuh minit berselang, pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Fernando Martin Forestieri pada minit ke-26 selepas pertahanan Sabah FC sedikit leka di dalam kotak penalti seterusnya menewaskan Khairul Fahmi.

Keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua permainan anak buah Benjamin Mora dilihat melakukan serangan bertali arus ke arah kubu tuan rumah namun Sabah FC terus cemerlang mempertahankan kubu mereka.

Minit akhir perlawanan pada masa tambahan, pasukan pelawat berjaya menambah gol kedua hasil jaringan pemain import Fernando Martin Forestieri membolehkan pasukan JDT FC berjaya membawa pulang tiga mata di gelanggang lawan.

Dengan keputusan itu, pasukan JDT FC kekal mendahului kedudukan Liga Super dengan memungut 26 mata manakala Sabah FC kekal ditangga kedua liga.

Sabah FC akan bertemu Terengganu FC pada 19 Julai ini bagi saingan Liga Super dan akan menentang Selangor FC bagi saingan suku akhir Piala FA pada 23 Julai di Stadium Likas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *