DUN Sabah : Kajian terperinci dilaksanakan sebelum dibawa ke MOT – Abidin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Kajian terperinci mengenai cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis telah dijalankan bersama Syarikat Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dan Syarikat Berjaya Land Berhad (BLB).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Abidin Madingkir berkata, syarikat berkenaan akan menjalankan kajian terperinci mengenai cadangan tersebut sebelum perkara itu diangkat kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk pertimbang.

“Sebagai makluman, statistik pergerakan penumpang di KKIA pada 2019 iaitu semasa tempoh pra COVID-19 telah mencatatkan sebanyak 9.4 juta penumpang setahun iaitu melebihi kapasiti sebenar iaitu 9 MPPA (million passengers per annum).

“Walau bagaimanapun, penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan yang ketara terhadap aliran trafik penumpang di KKIA,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika menjawab pertanyaan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Abidin berkata, jumlah penumpang pada tahun 2020 telah menurun dengan drastik kepada 2.3 MPPA, manakala pada tahun 2021 menurun lagi kepada 2.1 MPPA.

Namun demikian katanya, aliran trafik dijangka kembali pulih dalam tempoh tiga tahun seperti mana sebelum pandemik COVID-19.

“Negeri Sabah mempunyai potensi yang amat besar dalam sektor pelancongan. Aliran trafik pasti akan meningkat dari semasa ke semasa.

“Pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu yang pesat mungkin tidak dapat menampung keperluan menaik taraf lapangan terbang sedia ada di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Abidin berkata, kajian yang bakal dijalankan ini perlu dilihat secara positif dengan mengambil contoh penempatan semula lapangan terbang Subang ke Sepang.

Katanya, perpindahan ini telah membawa pembangunan yang inklusif kepada bandar Sepang dan berharap sekiranya hasil kajian mendapati projek ini berdaya maju untuk dilaksanakan, ianya kelak akan membawa kesan limpahan kepada pembangunan Kimanis dan kawasan sekitarnya.

“Kerajaan Negeri percaya bahawa kajian yang akan dilaksanakan tersebut akan mengambilkira konsep evidence-based planning dalam perancangan dan pembangunan sektor Pengangkutan bagi memenuhi keperluan pasaran.

“Ini termasuklah memuktamadkan sama ada projek tersebut berdaya maju (viable) dan berdaya tahan (resilient),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *