HomeUtamaKerajaan Negeri beri penekanan aspek Pendidikan & Modal Insan

Kerajaan Negeri beri penekanan aspek Pendidikan & Modal Insan

Read Time:3 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri amat komited dan memberi penekanan kepada aspek pendidikan dan modal insan dalam memacu pembangunan Negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, modal insan yang cemerlang dan berkualiti amat penting bagi menjayakan pelbagai dasar, agenda dan program pembangunan kerajaan seterusnya memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata, Negeri Sabah memerlukan kepelbagaian dari segi modal insan bagi melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Jusrteru pembangunan modal insan di Sabah tidak akan tertumpu dalam satu-satu bidang tertentu sahaja, kerana kita memerlukan kepakaran berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang yang lain.

“Dengan perubahan mendepani cabaran endemik COVID-19, disamping kebergantungan kepada industri pembuatan dan pertanian, negara kita turut berubah kepada industri digital. Semua gerak kerja dilaksanakan dalam talian dan “cashless”.

Bidang digital perlu diterokai dengan lebih meluas oleh anak-anak muda kita seiring dengan hala tuju negara”, katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) siri ke-33 di Auditorium Tun Ahmad Raffae Menara Tun Mustapha, hari ini.

Ini merupakan ABCNS pertama yang beliau hadiri dan rasmikan sebagai Ketua Menteri.

Seramai 40 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 terpilih menerima anugerah itu.

Beliau menyeru kepada para penerima ABCNS supaya memanfaatkan peluang keemasan ini untuk meningkatkan lagi tahap penguasaan ilmu, khususnya yang berkaitan dengan kreativiti dan inovasi untuk menjadi sebahagian pemangkin matlamat Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, sebagai pelapis masa depan negeri, ilmu yang diperoleh para pelajar cemerlang akan dapat membantu membangunkan negeri ini.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri tetap mengutamakan agenda pembangunan pendidikan disamping mempelbagaikan program pendidikan dalam membantu menokok-tambah usaha Kerajaan Persekutuan meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir atau ketinggalan dalam bidang pendidikan demi menjamin masa depan mereka.

“Justeru Kerajaan Negeri melalui Pelan Pembangunan SMJ telah memperkenalkan beberapa pakej insentif bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian. Pelaksanaan pakej insentif itu dijalankan melalui program bantuan pendidikan yang telah dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM24 juta pada tahun 2021 seperti Program Bantuan Institusi Pengajian Tinggi, Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Program Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Program Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI).

Beliau berkata, pakej Insentif seperti BAIK, BAKTI dan BUDI juga telah diteruskan dan menambah inisiatif bantuan berjumlah RM35 juta pada tahun ini.

Katanya, pada tahun ini juga, kerajaan negeri telah melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bertujuan memberikan bantuan pendidikan khusus kepada anak Sabah daripada golongan B40 bagi meningkatkan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dengan dana permulaan sebanyak RM54.5 juta.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Yayasan Sabah (YS) kerana berjaya memperoleh pendapatan tertinggi dalam masa sembilan tahun kebelakangan ini dengan kutipan sebelum cukai untuk tahun 2021 sebanyak RM424 juta.

“Ini terbukti jika sesebuah organisasi itu ditadbir urus dengan baik disamping persekitaran luaran yang memberangsangkan, maka pulangan pendapatan lebih tinggi dapat diperoleh. Lebih tinggi pendapatan Kumpulan YS, maka lebih besarlah sumbangannya kepada rakyat di negeri ini”.

“Saya juga berharap Badan-Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan yang lain akan mempamerkan prestasi yang baik demi memperkasa agenda Kerajaan Negeri Sabah untuk rakyat yang tercinta”, tegasnya.

Menyentuh ABCNS, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YS berkata, ia membuktikan komitmen berterusan dan kesungguhan Kerajaan Negeri melalui Kumpulan YS dalam memacu kecemerlangan pendidikan dengan melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dan berkualiti pada masa hadapan.

Menurutnya, sehingga hari ini, seramai 675 orang anak-anak Sabah menerima manfaat daripada biasiswa yang berprestij ini dengan perbelanjaan berjumlah RM115.8 juta.

Selain itu, kerajaan juga menyalurkan peruntukan yang besar untuk memperkasa dan meningkatkan pembangunan dan infrastruktur pendidikan.

Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah YS, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.

RELATED ARTICLES
Utama

Kemenangan Lepu,Manda melengkapkan satu cerita yang manis – Cikgu Sharif

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular