131 guru baharu bantu tangani masalah kekurangan guru agama di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU : Seramai 131 guru terdiri dari anak tempatan negeri ini menerima watikah pelantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bagi jawatan guru agama dan akademik dibawah lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS).

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia merupakan salah satu inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui modal insan dan kesejahteraan rakyat dimana Kerajaan Negeri turut mengambil langkah meluluskan peruntukan bagi melantik guru-guru baharu.

Antara jawatan pelantikan baharu itu adalah melibatkan guru Al-Quran; Bahasa Arab serta subjek lain, manakala bagi guru akademik pula adalah meliputi guru sains, matematik, kaunseling, rekabentuk teknologi, guru bahasa melayu dan bahasa inggeris.

“Saya berharap dengan pelantikan dan penambahan guru-guru baharu ini akan dapat mengurangkan masalah isu kekurangan guru agama di negeri ini.

“Sudah pasti ini juga akan dapat membantu menampung keperluan guru dan kita akan memohon lagi dengan kemahiran lain misalnya bagi Gred DG41 untuk sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri dan menyerahkan surat pelantikan dan penempatan guru-guru baharu dibawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini semalam.

Arifin berkata, semua guru yang dilantik merupakan anak tempatan Sabah yang mempunyai kelulusan daripada Institut pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara sekaligus mengurangkan dasar kebergantungan guru dari semenanjung.

Beliau turut berharap agar setiap guru yang dilantik ini akan menjadi pendidik yang bukan hanya bertugas di sekolah tetapi berperanan untuk mendidik dan berdakwah kepada komuniti dan masyarakat.

Penyerahan surat watikah perlantikan itu diserahkan sendiri oleh Arifin kepada guru baharu yang bakal di tempatkan di seluruh negeri termasuk di kawasan pedalaman seperti di Institut Tahfiz Negeri (ITQAS), Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Agama Negeri (SAN INTEGRASI) dan Sekolah Agama Negeri (SAN).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *